KEPDA Gusar Persembahan Pablo Pallares


KUALA LUMPUR - Prestasi penyerang import baru Kedah, Pablo Pallares dari Sepanyol dalam aksi persahabatan menentang PKNP FC semalam meresahkan penyokong pasukan itu meskipun dia menjaringkan satu gol ketika menang 2-0.

Sudah ada suara-suara yang meragui kemampuan pemain pilihan jurulatih, Ramon Marcote itu yang dianggap tidak sehebat mana sekalipun masih terlalu awal untuk membuat penilaian.

Malah Kelab Penyokong Bolasepak Kedah Darul Aman (KEPDA) secara jelas mempertikai pemilihan Pallares bersandarkan prestasinya pada perlawanan malam tadi serta rekod lampau pemain itu.

Presidennya Nor Asmadi Hamzah berkata, sejak awal kehadiran Pallares, penyokong meragui kemampuannya selepas rekod silam menunjukkan dia bukanlah peledak gol bersama pasukan yang pernah diwakilinya.


"Berdasarkan fakta, jaringan tertinggi pernah dihasilkan adalah 17 gol dalam 34 perlawanan ketika mewakili kelab Segunda Divisyen B Sepanyol, La Hoya Lorca pada musim 2013-2014.

"Sebelum menyertai Kedah, dia hanya menjaringkan 10 gol dalam 38 perlawanan selama dua musim bermain untuk UCAM Murcia dari 2015 hingga 2017.

"Malah bersama kelab terakhirnya, Ponferradina, Pablo hanya mampu jaring dua gol dalam 28 penampilan.

"Jadi, kami tidak faham, atas dasar apakah Marcote memilih Pablo. Apakah dia boleh diharapkan untuk menghasilkan banyak gol seperti dilakukan Ken Ilso musim lalu?

"Persembahannya malam tadi menambahkan keraguan serta kebimbangan kami. Walaupun menjaringkan satu gol namun persembahan Pablo secara keseluruhannya amat mengecewakan," katanya.

Sumber: BH Online