Kerajaan Berhasrat Lepaskan 10,000 Kes Bankrap Setahun


KUALA LUMPUR – Kerajaan berharap bank-bank di Malaysia memberi kerjasama baik kepada usaha membenarkan mekanisme penyelamat digunakan bagi memberi peluang kepada penghutang bank menyusun semula hutangnya bagi mengelak prosiding kebankrapan diambil terhadap mereka.

Antara mekanisme penyelamat itu adalah melalui kaedah Perkiraan Sukarela (VA) kenaikan had minimum kebankrapan daripada RM30,000 kepada RM50,000 dan kes-kes kebankrapan yang telah ditadbir Jabatan Insolvensi Malaysia melebihi 15 tahun.

Kerajaan malah menyatakan hasrat untuk melepaskan sebanyak 10,000 bankrap setahun bagi tempoh lima tahun dan berharap bank membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum bantahan terhadap pelepasan itu dikemukakan.

Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dalam satu kenyataan media berkata, harapan kerajaan itu telah dinyatakan Azalina kepada Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia dalam satu perbincangan meja bulat semalam.

“Perbincangan meja bulat itu turut disertai Bank Negara Malaysia, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) diadakan di Dewan Harmoni, Bangunan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU).

“Rundingan meja bulat ini dibuat bagi membincangkan isu-isu teknikal yang dihadapi kedua-dua belah pihak untuk mencari titik persefahaman dalam menyelesaikan masalah kebankrapan di negara ini,” kata kenyataan itu semalam.

Menurut kenyataan itu, turut hadir Ketua Pengarah BHEUU, Datuk Jalil Marzuki; Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia, Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid dan Pengarah Jabatan Consumer dan Amalan Pasaran Bank Negara, Jeremy Lee.

Turut hadir Pengarah Eksekutif Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia, Kalpana Sambasivamurthy; Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir dan lebih 30 wakil bank kormersial yang beroperasi di Malaysia. - Kedahnews.com