SUNGAI PETANI - Kerajaan negeri memandang serius isu membabitkan seorang guru di Kulim, yang didakwa mengalami masalah mental namun masih dibenarkan mengajar, demi menjaga nama baik profesion perguruan.
Exco Pendidikan, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, sekiranya pakar perubatan telah memberikan pengesahan tentang penyakit mental yang dihidapi, guru terbabit tidak sepatutnya meneruskan tugas sebagai pendidik.
"Jabatan Pendidikan Negeri perlu mengambil tindakan segera, guru itu tidak sepatutnya dibenarkan mengajar sekiranya disahkan sakit mental sehingga dia pulih sepenuhnya," katanya ketika hadir ke Majlis Sumbangan Bantuan Awal Persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Amanjaya, semalam.
Beliau berkata demikian berhubung video membabitkan kes seorang guru perempuan dari SMK Chio Min di Kulim yang bertindak keterlaluan dipercayai akibat mengalami masalah mental, menjadi tular di media sosial.
Sumber: Sinar Online