Kerajaan Negeri Sudah Lunas Sepenuhnya Kos Perubatan Radzi Di AS


ALOR SETAR – Kesusahan keluarga kakitangan Pejabat Dewan Undangan Negeri Kedah, Mohd Radzi Abd Hadi yang dimasukkan ke Hospital Dignity Health, California akibat terkena serangan jantung ketika mahu menziarahi keluarganya di Phoenix, Arizona, Amerika Syarikat pada 9 Dis lalu akhirnya berakhir.

Ini kerana Kerajaan Kedah telah melunaskan sepenuhnya kos perubatan Radzi yang sebelum ini terpaksa menagih simpati orang ramai untuk melunaskan kos perubatan di hospital terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi serta Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia, Malaysia dan Thailand negeri, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail berkata kerajaan negeri telah membayar kos perubatan Radzi, 56, yang berjumlah RM141,000 kepada pihak hospital.

“Mohd Radzi berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan selama lima hari dan jumlah kos perubatan telah mencecah US$196,062.02 (RM800,000), tidak termasuk bayaran doktor pakar yang berjumlah US$100,000 (RM395,450). Jadi jumlah keseluruhan yang perlu dibayar mencecah lebih RM1juta.

“Kita (kerajaan negeri) telah meminta bantuan Wisma Putra dan Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Amerika Syarikat untuk berbincang dengan pihak hospital dan hasil perbincangan pihak hospital bersetuju memberi diskaun lebih 80 peratus dan jumlah yang perlu dibayar hanya RM141,000,” katanya kepada pemberita di Wisma Darul Aman di sini, semalam.


Tambahnya, kos perubatan tersebut telah dilunaskan sepenuhnya kelmarin dan kini Mohd Radzi sudah boleh pulang ke Malaysia pada bila-bila masa.

Ekoran dari bantuan tidak terhingga dari kerajaan Kedah, Ku Abdul Rahman berharap agar kutipan dana menerusi laman web ‘Go Fund Me’ yang dilancarkan sebelum ini segera dihentikan.

“Semua kos sudah dibayar jadi kutipan dana ini tidak perlu diteruskan lagi. Kerajaan negeri memang sentiasa mengambil berat dengan apa yang terjadi kepada rakyat negeri ini dan kita akan cuba untuk menyelesaikan apa juga perkara dengan secepat mungkin,” katanya.

Pada 8 Dis lalu, Mohd Radzi sekeluarga tiba di Lapangan Terbang Los Angeles, California untuk berjumpa anak dan menantunya yang belajar di sebuah universiti di Arizona sebelum dimasukkan ke Hospital Dignity pada 9 Dis selepas mengalami serangan jantung.

Beliau yang koma selama tiga hari dirawat di ICU hospital berkenaan selama lima hari sebelum dibenarkan keluar pada 17 Dis lalu. - Kedahnews.com