Kerang Makin Pupus Di Kuala Kurau


KUALA KURAU - Kegiatan menternak dan mengutip kerang yang begitu popular di sini kira-kira sedekad lalu, kini semakin malap berikutan hidupan laut itu dikatakan semakin pupus.

Ketika zaman 'kegemilangannya', kira-kira 300 kilogram kerang dapat dinaikkan setiap petang dengan harga pasaran adalah RM1 sekilogram.

Sekarang, walaupun harga kerang mencecah hingga RM12 sekilogram, jika dapat satu kilogram kerang setiap petang pun boleh dianggap sudah beruntung. 

Seorang nelayan, Shaharudin Md Din, 40, berkata kekurangan hidupan laut itu di pasaran dipercayai menjadi antara punca kenaikan mendadak harga kerang hingga RM12 sekilogram.

"Kalau 10 tahun lalu, ia antara industri yang menjana pendapatan lumayan kepada penternak dan nelayan di sini, tetapi sekarang begitu sukar hingga kadang-kadang hanya menemui cengkerang kerang sahaja tanpa isi," katanya.

Berikutan itu, katanya, ramai nelayan terpaksa mencari pekerjaan alternatif seperti bekerja sebagai awak-awak di atas kapal nelayan untuk mencari sara hidup.

Shaharudin berkata, sebahagian besar penduduk percaya kepupusan kerang itu adalah kesan daripada aktiviti penternakan udang di pesisiran Kuala Kurau, selain pencemaran akibat pembuangan racun sawah padi yang dialirkan ke laut.

Seorang lagi nelayan, Ramli Salleh, 55, berkata kerang di kawasan itu kini semakin berkurangan disebabkan pencemaran air.

Katanya, tidak mustahil dalam tempoh beberapa tahun akan datang, tiada lagi pukat dijemur di tebing dan tiada lagi orang yang bekerja sebagai nelayan di Kampung Nelayan di situ.

"Ia membabitkan sumber pendapatan nelayan dan penternak sekali gus perindustrian kerang secara keseluruhannya.

"Kita harap masalah ini dapat diatasi secepat mungkin memandangkan ia adalah sumber pendapatan nelayan di kawasan ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Perak, Ir Dr Ahmad Anuar Othman, berkata pihaknya sudah dimaklumkan mengenai masalah nelayan di kawasan itu.

Berikutan itu, katanya, pegawai JPS daerah akan dihantar bagi menyiasat dakwaan berkenaan, dalam tempoh terdekat.

Sumber: BH Online