Kereta Disita JPJ, Aliff Syukri Arah Peguam Uruskan


KUALA LUMPUR - Pengasas syarikat D'Herbs, Datuk Seri Aliff Syukri, sudah mengarahkan peguam menguruskan isu kereta mewah miliknya yang disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur di Jalan Bangsar di sini, malam tadi.

Perkara itu disahkan pihak pengurusan usahawan terbabit menerusi mesej aplikasi WhatsApp kepada BH, hari ini.

"Buat masa ini, Datuk Aliff belum mempunyai kenyataan berkaitan isu ini. Pihak peguam beliau sedang berurusan mengenai perkara ini dan belum ada kenyataan rasmi dibuat," katanya.

Difahamkan, Aliff kini berada di luar negara kerana bercuti.

Semalam, BH Online melaporkan JPJ menyita sebuah kereta mewah jenis Rolls Royce Ghost milik jutawan kosmetik itu dalam Ops Patuh yang diadakan sempena sambutan ambang tahun baharu.

Kereta terbabit dipandu seorang warga Australia yang tidak memiliki lesen memandu sah di negara ini, manakala rakan senegaranya yang turut berada dalam kenderaan itu tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan itu menggunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan Sarawak tetapi ia digunakan di Semenanjung.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPJ, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman, dipetik sebagai berkata, kesalahan itu dikategorikan sebagai penipuan lokasi pengisytiharan penggunaan LKM.

Difahamkan, kereta mewah yang dianggar berharga lebih RM1 juta itu disewa oleh dua warga asing terbabit dari sebuah agensi kereta sewa mewah milik Aliff.

Sumber: BH Online