Kes Rasuah: Penjawat Awam Langkawi Direman 6 Hari


LANGKAWI – Dua penjawat awam, seorang daripadanya penolong pegawai undang-undang di sebuah jabatan kerajaan di sini direman enam hari bagi membantu siasatan kes rasuah.

Perintah reman yang bermula hari ini dikeluarkan Majistret Nurshahida Abdul Rahim di Mahkamah Majistret Langkawi di sini semalam.

Penolong pegawai undang-undang berumur 31 tahun dan penolong operasi berumur 30 tahun itu ditahan di sebuah restoran di sini kira-kira 2.28 petang semalam berikutan aduan daripada seorang individu yang bekerja sendiri berumur 50 tahun.

Menurut fakta kes yang dikemukakan Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muhamad Hakimi Azizan, kedua-dua suspek dikatakan telah meminta suapan dalam bentuk dua helai baju berjenama Harley Davidson yang keseluruhannya bernilai RM456.03 daripada pengadu sebagai balasan melancarkan proses permohonan tanah. – Bernama