Kes Tipu Bina Rumah, Pelakon Bergelar Datuk Ditahan Polis Lagi


AMPANG JAYA - Pelakon bergelar Datuk yang pernah ditahan untuk siasatan kes penipuan jualan rumah membabitkan kerugian RM6.2 juta, tahun lalu, ditahan sekali lagi, semalam.

Suspek berusia 37 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung penipuan projek pembinaan sebuah banglo membabitkan kerugian RM60,000 selepas polis menerima laporan daripada seorang wanita yang mendakwa ditipu syarikat terbabit.

Suspek ditahan di Balai Polis Bukit Indah di sini, ketika datang ke balai polis berkenaan untuk diambil keterangan pada jam 5.45 petang.

Difahamkan, suspek akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias, ketika dihubungi mengesahkan penahanan pelakon terbabit.

Katanya, dalam kes itu mangsa mendakwa berurusan dengan syarikat berkenaan dan menandatangani perjanjian bagi pembinaan sebuah banglo bernilai RM60,000. 

"Mangsa membuat pembayaran RM10,000 secara tunai kepada syarikat milik suspek pada 18 Jun lalu sebelum menandatangani perjanjian dengan sebuah lagi syarikat sekutunya.

"Mangsa turut menyerahkan baki bayaran sebanyak RM50,000 ke akaun syarikat sekutu itu, namun sehingga hari ini, rumah yang dijanjikan kepada mangsa masih belum dibina," katanya

Hamzah berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. 

Sumber: BH Online