Ketua Bahagian PPBM Desak Mahathir Letak Jawatan

 
Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah diminta untuk menjalankan siasatan terperinci mengenai perhimpunan agung tahunan pertama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diadakan Sabtu lalu, kerana didakwa tidak diadakan mengikut perlembagaan parti.

Ketua PPBM Bahagian Temerloh, Amerus Che Onn berkata, AGM pada hari Sabtu lepas dilihat sebagai acara memenuhi keperluan peribadi kerana ia hanya berjuang untuk kepentingan individu tertentu,

Jelasnya, perhimpunan itu juga tidak menunjukkan sebarang inisiatif untuk menyelesaikan krisis dalaman parti itu yang kian meruncing dan menimbulkan ketidakpuasan hati ramai akar umbinya.

"Delegasi ke AGM tidak dipilih mengikut perlembagaan parti. Tiada perhimpunan di peringkat cawangan dan bahagian untuk memilih perwakilan untuk menghadiri AGM yang pertama. Selain itu, perhimpunan untuk sayap belia dan wanita juga tidak diadakan.

"Saya rasa ditipu dan dimainkan. Itulah sebabnya saya menggesa ROS untuk menyiasat perkara itu," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di ROS di sini hari ini.

Sabtu lalu, PPBM mengadakan AGM pertama yang dihadiri oleh 941 perwakilan dari 137 bahagian di Pusat Konvensyen Ideal di Shah Alam selepas diberi amaran oleh ROS.

Amerus berkata AGM yang pertama itu hanya memberi tumpuan kepada pemimpin tertentu, sementara para perwakilan tidak diberikan hak untuk menyuarakan pandangan mereka.

"Tidak ada objektif sebenar untuk PPBM kerana kepimpinan teratas hanya berjuang untuk kepentingan individu tertentu sementara isu dalaman tidak dapat diselesaikan," katanya memetik laporan portal pro-pembangkang, Malaysiakini.

Dalam hal ini, Amerus menyeru Dr Mahathir Mohamad untuk meletak jawatan sebagai Pengerusi PPBM dan Pakatan Harapan, kerana beliau hanya berjuang untuk kepentingan peribadinya.

Terdahulu, ROS telah memberi amaran kepada PPBM ke atas tiga kesalahan iaitu tidak mengadakan mesyuarat agung tahunan, menubuhkan sayap Pemuda dan menangguhkan AGM bukan mengikut peruntukan perlembagaan parti yang boleh menyebabkan parti itu terbatal pendaftaran. - Kedahnews.com