ALOR SETAR – Kim Chol atau Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara dikatakan sempat bertemu seorang perisik warga Amerika Syarikat, lima hari sebelum kematiannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).
Menurut Pegawai Penyiasat ASP, Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz, perjumpaan itu dilakukan di sebuah pangsapuri terletak di Langkawi pada 9 Feb 2017.
Walau bagaimanapun, motif perjumpaan antara mangsa dan perisik itu tidak dapat dipastikan.
Pertemuan itu dicadangkan peguam Gooi Soon Seng yang mewakili tertuduh warga Indonesia Siti Aisyah, 26, ketika menyoal balas Wan Azirul Nizam pada perbicaraan hari ke-27 kes Siti Aisyah dan Doan Thi Huong , 29, yang didakwa bersama-sama empat lelaki yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di Balai Pelepasan Klia2 pada 9 pagi, 13 Feb tahun lalu.
Menjawab cadangan Gooi, saksi ke-9 itu bersetuju bahawa terdapat pertemuan di antara Kim Chol dengan seorang lelaki di Langkawi.
Pihak polis sehingga kini masih tidak dapat memastikan identiti lelaki terbabit dan tidak dapat mengesahkan sama ada beliau seorang perisik atau sebaliknya.
Ditanya sama ada lelaki itu masuk ke negara ini pada 6 Feb 2017 iaitu pada hari sama Kim Chol datang ke Malaysia dan pihak polis mengetahui mengenai kehadiran warga Amerika itu, saksi itu menjawab “tidak bersetuju”.
Bagi merungkai tanda tanya itu, Wan Azirul Nizam mengarahkan pegawainya pergi ke Langkawi untuk menjalankan siasatan berhubung pertemuan itu, tetapi siasatan tidak dapat memastikan bentuk perbincangan di antara mereka.
Saksi itu bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa siasatan polis di Langkawi adalah untuk mengetahui mengenai motif pembunuhan Kim Chol.
Bagaimanapun, beliau menafikan cadangan Gooi bahawa pihak polis menyembunyikan maklumat daripada mahkamah berhubung pertemuan berkenaan.
“Saya memerlukan masa untuk menyemak diari siasatan sebelum dikemukakan di mahkamah,” katanya.
Kim Chol yang pulang ke Kuala Lumpur pada 12 Feb 2017, ditemui mati keesokan hari selepas didakwa disapu dengan racun agen saraf VX di Balai Pelepasan klia2.
Terdahulu, Hakim Datuk Azmi Ariffin membenarkan permohonan Gooi untuk memanggil semula saksi pendakwaan kelapan iaitu ketua Makmal Pusat Senjata Kimia, Jabatan Kimia Malaysia Dr S.Raja , 43, untuk memberi keterangan pada perbicaraan itu.
Peguam berkenaan membuat permohonan itu mengikut Seksyen 425 Kanun Tatacara Jenayah atas alasan terdapat beberapa soalan tambahan yang perlu ditanya kepada saksi berkenaan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azmi bersambung hari ini. - Kedahnews.com