JURULATIH negara, Datuk Ong Kim Swee mahu anak buahnya mengambil kesempatan ke atas Arab Saudi yang tampak lebih tertekan dalam aksi terakhir Kumpulan C Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23) di Stadium Kushan, Selasa ini.
Katanya, Arab Saudi yang muncul naib juara 2013 pasti akan lebih terdesak untuk memburu kemenangan pertama selepas hanya seri 2-2 dengan Jordan dan 0-0 menentang Iraq tatkala tiket ke suku akhir menjadi pertaruhan untuk direbut kedua-dua pasukan.
"Sudah tentu Arab Saudi adalah pasukan pilihan tapi kita juga perlukan kemenangan untuk membuka laluan semula layak ke suku akhir.
"Saya rasa Arab Saudi akan rasa lebih tertekan dengan status mereka di mana mereka perlu mendapatkan keputusan lebih baik daripada kita," katanya ketika ditemui pada sesi latihan terakhir pasukan di Changshu sebelum berpindah ke Kushan semalam.
Skuad negara kembali mengintai peluang ke suku akhir apabila seri 1-1 dengan Jordan semalam selepas tewas 1-4 kepada Iraq pada aksi pembukaan Rabu lalu.
Malaysia yang kini berada di tangga tercorot kumpulan boleh merebut satu daripada dua slot ke suku akhir andai menewaskan skuad kendalian Daniel Teglia dan Iraq mengalahkan Jordan dalam satu lagi perlawanan.
Namun apa yang membimbangkan jurulatih berusia 47 tahun itu adalah tahap kecederaan yang dialami beberapa tonggak termasuk penjaring dua gol negara dalam kempen ini, Safawi Rasid.
"Tiada pemain yang digantung tapi pemain seperti Safawi, Dominic (Tan) Syazwan Andik dan Irfan (Zakaria) mempunyai sedikit kecederaan tetapi kita akan lihat keadaan mereka sama ada boleh beraksi atau tidak.
"Pasukan Arab Saudi tiada banyak perbezaan dibandingkan Iraq serta Jordan di mana mereka mempunyai corak permainan pantas dan pemain miliki skil individu cukup baik," kata bekas pengendali Harimau Malaya itu.
Sumber: BH Online