Kisah Pengantin Sanggup Masak Jamu 2,000 Tetamu


“SAYA tidak kisah hanya memakai pakaian yang murah, asalkan makanan disediakan terbaik dan sedap serta menggembirakan tetamu.” kata Muhammad Syukri Adnan dipetik portal tempatan.

Kisah beliau menjadi perbualan banyak pihak selepas dilaporkan sanggup memasak sendiri 10 jenis nasi selama empat jam pada sebelah pagi hari majlis persandingannya untuk disajikan kepada 2,000 tetamu baru-baru ini.

Muhammad Syukri, 28, malahan berkata, dia cuma memakai pakaian pengantin yang berharga RM150, manakala isterinya, Nazirah Mokhtar, pula RM250, tetapi mereka membelanjakan RM9,000 untuk makanan kepada tetamu.

Dia yang kebetulan memang mengusahakan syarikat katering bersama keluarganya, ANAC Katering Enterprise sangat berpuas hati apabila tetamu yang hadir pada 13 Januari lalu gembira dengan makanan yang dihidangkan.

“Idea itu sebenarnya timbul setelah saya memikirkan bagaimana cara menghargai pelanggan di sekitar Raub (Pahang) selain untuk mereka mencuba keenakan pelbagai jenis nasi yang kami boleh sediakan sendiri.

“Sebelum itu, saya umum menerusi laman Facebook untuk menjemput semua orang datang ke majlis persandingan kami di Kampung Melayu Sungai Lui 2, Raub,” katanya ketika dihubungi portal berita tempatan tersebut.




Muhammad Syukri berkata, dia mula mendapatkan bahan yang diperlukan untuk memasak kesemua jenis nasi empat hari sebelum majlis dan menggunakan sebanyak 97 kilogram beras untuk memasak 10 jenis nasi.

Hidangan berat tempatan itu ujar beliau lagi, meliputi penyediaan untuk Nasi Hujan Panas, Nasi Jagung, Nasi Serai, Nasi Beriani, Nasi Arab, Nasi Minyak, Nasi Tomato, Nasi Keduli, Nasi Lobak dan Nasi Putih.

“Saya belajar memasak daripada ibu saya, Norazizah Ahad, 60, yang memang suka dan pandai memasak serta kebolehan ini mungkin diwarisi. Lagi satu, saya juga ikut gaya ayah saya, Addnan Md Amin, 63, sendiri.

“Dia memang gemar menyediakan makanan yang agak ‘mewah’ untuk tetamu dalam apa saja majlis keraian,” kata Muhammad Syukri yang menikahi Nazirah, 22, pada 30 Disember 2017 lalu yang dipetik portal tersebut.

Anak keenam daripada sembilan beradik itu juga melahirkan perasaan bersyukur kerana makanan yang disediakan ternyata agak mencukupi bahkan habis tanpa berlaku pembaziran sebaik majlis berakhir pada pukul 3.30 petang.

“Selain daripada 10 jenis nasi, saya menyediakan tujuh jenis lauk dan enam jenis air berperisa untuk tetamu dan Alhamdulillah, tiada isu pembaziran timbul kerana semuanya habis dan cukup untuk semua ribuan tetamu.

“Saya tidak kisah keluarkan belanja banyak untuk penyediaan makanan majlis kedua-dua pihak ini kerana kalau makan, kita akan kenyang dan ini juga adalah satu daripada cara untuk bersedekah,” kata Muhammad Syukri.

Dalam masa sama, beliau juga gembira kerana menerima banyak komen positif daripada tetamu selain ada yang mendoakan mereka agar murah rezeki dan tetap bahagia dalam perkahwinan. – Agensi