KUALA PILAH - Selepas hampir seminggu daerah ini dilanda kesejukan dengan suhu terendah 21 darjah Celsius direkodkan, semalam cuaca kembali pulih dan penduduk menjalani rutin harian seperti biasa.
Suasana sejuk dengan hujan dan angin kuat sejak beberapa hari lalu, membuatkan penduduk teruta ma kanak-kanak terpaksa memakai pakaian tebal apabila berada di luar rumah.
Pengetua sekolah, Nasarudin Zainal, 53, berkata dia dapat menghadiri majlis perkahwinan yang diadakan di kawasan perumahannya di Batu Kikir di sini, dan tidak perlu memakai pakaian tebal.
“Saya terpaksa memakai jaket ke masjid terutama ketika menunaikan solat Subuh kerana terlalu sejuk, tetapi hari ini (semalam) semuanya kembali seperti biasa,” katanya.
Selain itu, Fatin Nurshamimi Amran, 19, berkata, dia gembira kerana dapat membantu ibunya mengeringkan pakaian di bawah matahari selepas keadaan cuaca bertambah baik dengan suhu 27 darjah Celsius.
“Keluarga saya tidak dapat mengeringkan pakaian sejak beberapa hari lalu kerana hujan. Alhamdulillah, keadaan cuaca bertambah baik dan kami dapat melakukan cucian.
“Namun saya pasti akan merindui cuaca sejuk yang dirasai seperti berada di Cameron Highlands,” katanya yang juga penuntut Universiti Malaysia Pahang (UMP).
Kuala Pilah yang dikenali sebagai kawasan paling kering di negara ini mengalami cuaca sejuk luar biasa sejak empat hari lalu yang menyaksikan suhu mencecah 21 darjah Celsius.
Sumber: MyMetro