Kudapan Sihat Waktu Tengah Malam


RAMAI yang takut untuk makan lewat malam kerana beranggapan ia akan menggemukkan. Sebenarnya ia bergantung kepada jenis makanan yang anda pilih. Pengambilan makanan malam juga mampu memberikan khasiat kepada tubuh.  Berikut adalah beberapa jenis makanan ringan yang sihat, sesuai dijadikan snek pada waktu malam. Ia bukan sahaja dapat mengurangkan rasa lapar malah dapat membantu anda mendapatkan tidur yang lebih lena.

YOGURT

Sesuai bagi anda yang mengalami insomnia ataupun kesukaran tidur pada waktu malam. Yogurt dikatakan mampu membantu anda untuk tidur  dengan lebih lena dan berkualiti. Yogurt mengandungi protein yang tinggi dan kandungan karbohidrat yang rendah. Boleh campurkan buah-buahan seperti strawberi dan blueberi untuk proses antioksidan selain mendapatkan rasa yang lebih sedap.

ROTI GANDUM

Roti gandum mengandungi vitamin B kompleks, serat, Vitamin E, zink, zat besi, asid folat dan antioksida. Hanya makan sepotong sandwich bersama salad segar  dan daging tanpa lemak mampu memberikan kesan kenyang dalam tempoh yang lama.

PELBAGAI BUAH-BUAHAN SEGAR

Buah-buahan sangat sesuai dijadikan sebagai snek pada waktu malam. Untuk mempelbagaikan cara memakannya, kisar beberapa jenis buah untuk dijadikan jus. Selain dapat menghilangkan rasa lapar, anda juga dapat melakukan proses detoks yang dapat melancarkan proses penghadaman ketika tidur. Buah-buahan seperti epal, strawberi dan oren merupakan antara buah-buahan yang membekalkan sumber vitamin C terbaik buat tubuh. Pengambilan pisang pula mampu meningkatkan kadar insulin yang dihasilkan bagi membantu tubuh badan mendapat rehat yang mencukupi. Kandungan potassium dan magnesium yang tinggi dalam pisang juga boleh membantu otot untuk berehat.

Amalkan snek sihat ini jika berasa lapar pada waktu malam. Elakkan daripada mengambil makanan tidak berkhasiat yang akhirnya akan membawa kesan buruk kepada tubuh badan.

Sumber: Sinar Online