KUALA LUMPUR - Malaysia Hindu Sangam (MHS) mengulangi kenyataan bahawa kuil Hindu tidak boleh dibuka mahupun mengadakan upacara keagamaan semasa berlakunya fenomena gerhana bulan pada sambutan hari Thaipusam, 31 Jan ini.
Presidennya, Datuk RS Mohan Shan berkata masyarakat Hindu di seluruh dunia secara amnya berpegang teguh kepada ritual sebegini sejak dahulu kala, memandangkan impak negatif fenomena gerhana kepada mereka.
"Kebiasaannya, kuil tidak akan dibuka sepanjang tempoh gerhana dan masyarakat Hindu juga tidak digalakkan keluar rumah, bimbang akan 'gelombang negatif' yang wujud akibat gerhana," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
Beliau berkata gerhana bulan dijangka berlaku sekitar jam 7.48 malam dan berakhir 11.11 malam pada hari tersebut.
Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan Kuil Devasthanam Sri Maha Mariamman pada Jumaat bahawa upacara keagamaan di Kuil Sri Subramaniar di Batu Caves pada hari Thaipusam akan diteruskan, termasuk pada tempoh gerhana bulan.
Pengerusinya Tan Sri R. Nadarajah, dalam satu sidang media berkata masyarakat Hindu tidak perlu berasa was-was bagi menunaikan nazar atau sembahyang pada waktu gerhana bulan, pada hari Thaipusam itu, memandangkan satu upacara khas (parigara pooja) akan diadakan pada malam 31 Jan selepas gerhana bulan itu.
"Kebanyakan masyarakat Hindu tidak akan keluar rumah dan kebiasaannya kuil akan ditutup ketika berlakunya gerhana, namun disebabkan terdapat ramai penganut yang akan menunaikan nazar pada hari Thaipusam, kita mengambil alternatif ini," katanya.
"Parigara pooja akan dijalankan pada jam11.30 malam. Pihak pengurusan kuil telah mendapatkan nasihat daripada agamawan Hindu sebelum mengambil keputusan ini, dan diberitahu upacara keagamaan boleh dijalankan seperti biasa," katanya.
Sementara itu, beliau berkata perarakan pedati emas dan perak akan bermula dari Kuil Sri Maha Mariamman, Jalan Tun H.S.Lee, di sini pada jam 10 malam, 29 Jan dan dijangka tiba di di Batu Caves pada jam 2 petang hari berikutnya.
"Perarakan pulang pedati (perak sahaja) dari Batu Caves adalah pada 1 Feb dan akan tiba di Kuil Sri Maha Mariamman pada tengah malam hari yang sama," katanya.
Dalam pada itu, Mohan Shah menasihatkan penganut menunaikan nazar atau menjalankan upacara keagamaan sebelum jam 7.30 malam ataupun selepas 11.30 malam pada hari berkenaan, sambil menyatakan pihaknya tidak melarang penganut ke Batu Caves semasa berlakunya gerhana bulan.
Beliau berkata dua lagi lokasi utama sambutan Thaipusam di negara ini iaitu Kuil Balathandayuthapani di Goerge Town, Pulau Pinang dan Kuil Sri Subramaniya Swami di Sungai Petani, Kedah, dilaporkan akan ditutup semasa waktu gerhana bulan itu.
"Malah kuil di Singapura dan India juga dilaporkan akan mengambil langkah sama," katanya. - Bernama