UBATAN tradisional seperti jamu dahulunya pilihan masyarakat kerana khasiat semula jadinya yang diyakini.
Hari ini juga, jamu tetap pilihan segelintir pengguna sehingga berlaku lambakan jualan produk itu di pasaran. Persoalannya, adakah jamu itu asli atau ada campuran yang dilarang Kementerian Kesihatan?
Mengakui situasi itu, pengguna Facebook, Azizah Bahadari berkata, dia hanya meletakkan kepercayaan produk jamu dibuat sendiri.
“Kalau bidan lama, buatan sendiri di rumah, kepercayaan saya tinggi. Tetapi jika dikomersialkan, saya kurang percaya sebab bukan seorang dua yang menipu meletakkan bahan terlarang di dalamnya,” katanya ketika memberi respon kaji selidik Sorot di Facebook Sinar Harian.
Bagi Mohd Amirul Khoiz, lebih baik pengguna itu membuat sendiri jamu berbanding membelinya di pasaran.
“Ubatan asli bermaksud bahan asal seperti pucuk-pucuk dan akar kayu yang perlu kita proses sendiri. Itu lebih baik berbanding jamu yang sudah siap sebab kita tidak tahu campuran yang digunakan.
“Contohnya, apabila badan saya sakit, saya akan buat rebusan air halia dan serai,” katanya.
Ash Seri pula berkata, faktor penyumbang lambakan produk jamu disebabkan sikap pengguna yang tidak ambil kisah dengan kandungan yang terdapat dalam produk berkenaan.
Sumber: Sinar Online