Lapan Beranak Di Pendang Hidup Daif


PENDANG - Lapan beranak yang tinggal di Kampung Buluh Lima Dalam di sini hidup dalam keadaan daif dan memerlukan bantuan.

Mohd Nazarudin Abdullah, 37, bersama isteri, Siti Umi Kalsom Mat Isa, 32 dan empat anak berusia antara 2 hingga 13 tahun tinggal di rumah berkenaan bersama ibu bapanya, Abdullah Sulong, 70 dan Zainab Abdul Latip, 70, yang sudah uzur serta mengalami masalah pendengaran dan penglihatan.

Mohd Nazarudin berkata, hanya dia yang bekerja bagi menyara keluarga kerana isterinya perlu menguruskan persekolahan anak-anak.

Bagaimanapun katanya, mereka bernasib baik apabila ayahnya menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM150 sejak 2014.

“Saya kerja kampung saja, kadang ambil upah menebas, buat padi. Bolehlah habuan bagi mak ayah dan anak bini makan. Duit JKM ayah tu lepas la ubat-ubat dia dan sedikit keperluan yang lain. Ayah tak boleh bersila sebab masalah saraf dan tak mampu lagi buat sebarang pekerjaan,” katanya.

Tambahnya, akibat kekangan kewangan, rumah didiami sekarang tidak mempunyai bekalan elektrik dan air menyebabkan mereka terpaksa sambung dari rumah jiran terdekat.

“Anak saya belajar pun hanya guna pelita. Sejak kebelakangan ini ada juga anak-anak merungut tak tahan guna pelita, jadi saya cuba dapatkan bekalan elektrik daripada jiran,” katanya.

Sementara itu, nasib lapan beranak ini mendapat perhatian JKM Pendang yang menziarahi keluarga ini.

Pegawai JKM Pendang, Syaffrey Ibrahim berkata, JKM akan terus memantau kes ini termasuk kebajikan anak-anak Nazarudin.

Selain itu katanya, pihak mereka turut menasihati Nazarudin supaya berhenti menggunakan elektrik dengan cara sedemikian kerana berbahaya.

“Insya-ALLAH, JKM akan mengutarakan perkara ini ketika perbincangan bersama ketua-ketua jabatan peringkat daerah bagi mencari penyelesaian terbaik.

"Kita juga akan naikkan kadar bantuan bapanya dari RM150 kepada RM200 mulai bulan depan," katanya.

Orang ramai boleh menghulur bantuan menerusi akaun Agrobank 2005091000168750 atas nama Abdullah Sulong.

Sumber:Sinar Online