Dr. Mahathir pula bakal dilantik 'Perdana Menteri' setelah beliau diumumkan calon tunggal oleh Pakatan Harapan untuk memegang jawatan tertinggi kerajaan itu jika gabungan pembangkang menang pilihanraya umum kelak.
Diberitakan beratus aduan dilaporkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengenai salah laku PPBM yang mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) pertama akhir Disember lalu.
Kini ada pula desakan agar ROS mempercepatkan siasatan ke atas PPBM berhubung tindakan mereka mengadakan perhimpunan agung pertama tanpa perwakilan cawangan yang dipilih melalui mesyuarat.
Bekas Setiausaha Kerja PPBM, Kamarul Azman Habibur Rahman berkata, ROS tidak boleh berkompromi lagi terhadap tindakan Majlis Tertinggi PPBM berhubung isu berkenaan yang didakwa melanggar ketetapan parti tersebut.
Menurutnya, hal ini adalah berikutan alasan yang diberikan mereka adalah tidak munasabah dan meragukan.
“Alasan mereka untuk tidak melibatkan ahli cawangan dan bahagian yang dipilih pada mesyuarat agung itu kerana tidak ditubuhkan lagi adalah tidak munasabah dan melanggar ketetapan perlembagaan.
“Perkara ini tidak boleh dibiarkan. Oleh itu, saya sendiri sebagai penaja ROS akan membuat laporan berkenaan beberapa perkara bertentangan dengan perlembagaan dan penipuan yang berlaku dalam parti dalam masa terdekat,” katanya seperti yang dilaporkan Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ramai pemimpin bahagian PPBM tampil membuat laporan kepada ROS berhubung kegagalan pimpinan tertingginya mematuhi perlembagaan parti berkenaan.
Sebelum ini, PPBM mengadakan mesyuarat agung sulungnya di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, Selangor tanpa melibatkan perwakilan yang dipilih melalui mesyuarat di peringkat cawangan, bahagian dan sayap parti berkenaan.
Dalam nada sama, bekas Ketua Srikandi PPBM merangkap Presiden Empirical Malaysia, Anina Saadudin berkata, terdapat lebih 400 aduan yang dibuat ke atas parti itu kepada ROS berkaitan isu dakwaan perlanggaran perlembagaan.
PPBM kini terus menerima tamparan apabila lebih ramai ahlinya terus meninggalkan parti itu selain memprotes pemilihan Dr. Mahathir sebagai calon Perdana Menteri oleh Pakatan Harapan sedangkan pakatan itu belum lagi diluluskan pendaftarannya kerana kelewatan PPBM mengadakan mesyuarat agung tahunan.-Kedahnews.com
