Lebih 500 Murid Dalam DUN Alor Mengkudu Terima Sumbangan Beg Sekolah


ALOR SETAR - Di sebalik rungutan rakyat tentang harga barang yang mahal terutama untuk membeli peralatan persekolahan, sumbangan yang diberikan oleh UMNO, badan berkanun dan anak syarikat kerajaan negeri dan swasta sedikit sebanyak meringankan beban ibu bapa terutama isi rumah yang berpendapatan bawah RM3,000 sebulan.

Baru-baru ini lebih 500 murid sekolah di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Mengkudu yang terletak dalam Parlimen Alor Setar menerima sumbangan beg dan peralatan sekolah di bawah program Back To School anjuran YPM@KKLW2018 Puteri UMNO Alor Setar.

Sumbangan beg sekolah daripada Yayasan Pelajaran Mara (YPM) disampaikan oleh Ketua Puteri bahagian Alor Setar,  Maizatul Miza Mohd di beberapa kawasan Alor Mengkudu termasuk pada  majlis sarapan pagi bersama penduduk yang berlangsung Dewan Orang Ramai Taman Saga, Jumaat  lalu.



Selain bantuan beg sekolah, UMNO juga menganjurkan perkhidmatan gunting rambut percuma kepada murid sekolah serta menyediakan pakaian seragam sekolah dan pemeriksaan kesihatan  percuma kepada orang ramai.

Bantuan seumpama itu juga disampaikan oleh Ketua Pemuda UMNO Alor Setar, Syed Hafiz Syed Mustafa bersama Naib Ketua UMNO bahagian Zamri Mat di kawasan Keriang Pulau dan dalam DUN Kota Darulaman.
.
Bantuan itu termasuk sumbangan Pejabat Menteri Besar Kedah diberikan bukanlah kerana PRU14 yang semakin dekat tetapi ia telah menjadi tradisi UMNO/BN pada setiap tahun untuk memberikan bantuan kepada rakyat tanpa mengira fahaman politik dan bangsa.


Walaupun Alor Mengkudu, Kota Darulaman dan Parlimen Alor Setar diwakili oleh wakil rakyat pembangkang, ia tidak menghalang UMNO untuk terus berbakti kepada masyarakat terutama kepada golongan yang memerlukan perhatian. 

UMNO bahagian Alor Setar tidak boleh mengharapkan parti pembangkang seperti DAP, PKR dan PAS di kawasan itu untuk membantu penduduk kerana kedua parti itu lebih cenderung mencari keburukan kerajaan  daripada mengutamakan kepentingan rakyat. - Kedahnews.com