LOS ANGELES - Seorang lelaki Utah didakwa kerana menggunakan talian kecemasan polis mengugut untuk membunuh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bulan lalu ketika lawatan presiden ke wilayah barat negara itu.
Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat dalam satu kenyataan bertulis berkata, Juri Mahkamah Persekutuan Salt Lake City mendakwa Travis Luke Dominguez, 33, dengan dua pertuduhan mengugut Presiden dan dakwaan lain.
Jurucakap Jabatan Peguam Amerika Syarikat, Melodie Rydalch menerusi e-mel berkata, Dominguez, berasal dari kawasan pinggir bandar Salt Lake City, Midvale ditahan pada Ahad, dekat South Jordan.
Rydalch berkata, penguatkuasaan undang-undang tempatan dan persekutuan memang serius semua bentuk ancaman tetapi tidak ada bukti yang menunjukkan Dominguez pergi ke sesuatu tempat lain untuk melakukan ugutan.
Dia dikatakan melakukan ugutan dengan memuat naik mesej menggunakan talian kecemasan polis tempatan.
Menurut kertas pertuduhan mahkamah, pada 4 Disember tahun lalu, Dominguez menulis, "Saya terjaga dan memutuskan untuk membunuh Presiden. Saya bakal mati di tangan polis".
Dia juga didakwa kerana melakukan ugutan berasingan pada hari yang sama terhadap Trump yang melakukan lawatan ke Utah dan berucap di bangunan Capitol.
Ketika itu Dominguez melakukan ancaman dengan menggelar Trump sebagai gila seks, bersifat perkauman dan homofobik.
Dia yang berada dalam tahanan sebelum dihadapkan ke mahkamah hari ini gagal dihubungi untuk mendapatkan komen. - Reuters