Lelaki Menyamar 'Sarjan Faiz' Ditahan


KUANTAN - Selepas 10 hari diburu, lelaki menyamar sebagai 'Sarjan Faiz' yang melarikan remaja perempuan berusia 17 tahun di Ulu Gali, Sungai Ruan, Raub pada 27 Disember lalu, ditahan awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Pahang, Senior Asisten Komisioner Othman Nanyan, berkata lelaki berusia 32 tahun berasal dari Bentong itu ditahan kira-kira jam 2 pagi di sebuah hotel di Ipoh, Perak.

Katanya, turut dirampas sebuah kereta PROTON Satria, kunci kereta, sepucuk pistol bersama kelopak peluru palsu, dua telefon bimbit dan wang tunai RM100.

"Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub dan direman empat hari sehingga Selasa depan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 363 dan 170 Kanun Keseksaan iaitu menculik serta menyamar sebagai penjawat awam.

"Siasatan mendapati suspek pernah terbabit dalam beberapa kes jenayah di Mentakab di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, Brinchang Seksyen 354 Kanun Keseksaan (mencabul), Pekan Seksyen 379A Kanun Keseksaan (mencuri kenderaan).

"Suspek juga mempunyai rekod kesalahan di negeri lain iaitu Bakri, Johor iaitu menyamar sebagai penjawat awam (Seksyen 170 Kanun Keseksaan); Chukai, Terengganu di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan mencuri kenderaan di Kuala Lumpur yang disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pada 27 Disember tahun lalu, suspek dikatakan mengunjungi rumah mangsa, Nur Syaminn Nabila Mohd Shapawi, dengan menaiki kenderaan dan menyamar sebagai 'Sarjan Faiz' yang bertugas di Balai Polis Sungai Ruan.

Suspek dilapor meminta kebenaran ibu mangsa, Wan Maziah Wan Mat, 37, untuk membawa Nur Syaminn Nabila mengambil motosikal baharu dibelinya di Pekan Sungai Ruan dan dibenarkan oleh ibunya.

Bagaimanapun, kira-kira jam 3 petang, Wan Maziah menerima panggilan daripada anaknya yang memberitahu berada di Gua Musang, Kelantan bersama lelaki itu dan mendakwa gelang emas dipakainya diambil suspek sebelum talian diputuskan.

Laporan polis kehilangan Nur Syaminn Nabila dibuat di Balai Polis Sungai Ruan dan anaknya itu tiba di stesen bas Raub pada 29 Disember selepas dihantar suspek ke stesen bas Pekeliling, Kuala Lumpur untuk menaiki bas.

Sumber: BH Online