Lelaki Pukul Wanita Kerana Tidak Bertudung Dapat Perhatian Netizen


BUKIT MERTAJAM - Tindakan seorang lelaki yang memukul wanita dipercayai warga asing hanya kerana tidak bertudung menimbulkan pelbagai reaksi netizen apabila video perbuatannya tular di laman sosial sejak beberapa hari lalu.

Difahamkan, kejadian berkenaan berlaku pada Sabtu lalu di sebuah perhentian bas di Taman Perwira, Permatang Tinggi di sini ketika sekumpulan pekerja asing warga Indonesia sedang menunggu bas kilang.

Video berdurasi enam minit 13 saat itu memaparkan seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai pengawal keselamatan datang ke perhentian bas berkenaan dan menegur beberapa wanita yang tidak bertudung, rambut berwarna dan berpakaian seksi.

Pada awalnya mereka tidak mengendahkan perbuatan lelaki itu namun lelaki itu bertindak agresif dan sesekali mengangkat tangan kononnya mahu menampar mangsa yang didakwanya biadab dan menjawab segala tegurannya.

Akibat tidak berpuas hati dengan cara teguran lelaki itu, berlaku perang mulut antara kumpulan wanita warga asing dengan lelaki berkenaan sebelum dia bertindak menampar wanita yang tidak bertudung.

Keadaan menjadi kecoh dan rakan mangsa bertindak menghalang lelaki berkenaan sebelum wanita terbabit lari menyelamatkan diri.

Mangsa juga dilihat cuba menghubungi kenalannya untuk meminta bantuan dan rakan-rakannya yang lain pula cuba menghubung polis untuk datang membantu mereka dari terus diancam lelaki terbabit.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid ketika dihubungi berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai kejadian berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Gerakan Belia 4B Kawasan Nibong Tebal, Rokiman Shah Haron yang mengulas mengenai insiden itu berkata,cara teguran yang dilakukan lelaki berkenaan dalam video berkenaan adalah salah sama sekali.

Menurutnya, sepatutnya lelaki terbabit perlu menjauhi sifat keras ketika memberi nasihat dan tidak menegur kesalahan peribadi seseorang di khalayak ramai.

"Sebaiknya kita perlu memberikan nasihat yang positif,bukan menghukum. Cari waktu yang sesuai untuk menegur kesalahan dan guna bahasa yang lembut selain memahami keadaan orang yang ditegur serta tidak mengaibkan orang yang ditegur.

"Kadangkala kita merasa diri kita ini adalah benar, tatkala menegur insan yang tersalah secara semberono atau cakap lepas dan kita mengenepikan nilai persaudaraan serta merobek aib si mangsa," katanya.

Sumber: Sinar Online