Lepas Campak Kerusi, Tular Baling Zink, Besi Pula


PETALING JAYA - Ketika kes remaja maut ditimpa kerusi dalam kejadian di Projek Perumahan Rakyat (PPR) hangat diperkatakan, telah tular video seorang wanita ditegur kerana mencampak barang dari tingkat atas sebuah pangsapuri.

Rakaman yang dimuat naik sepasang suami isteri di laman sosial Facebook itu menunjukkan perbuatan seorang wanita yang dipercayai warga asing bekerja sebagai tukang cuci di pangsapuri itu.

Menerusi video berdurasi hampir seminit, wanita berkenaan telah dimarahi seorang penduduk yang menyedari perbuatannya itu.

Sambil menangis, dia berkali-kali memohon maaf di atas kesilapannya dan merayu tidak akan mengulanginya lagi.

Malah dia memberikan alasan bahawa tiada sesiapa di tingkat bawah yang juga laluan ke taman permainan kanak-kanak ketika dia mencampakkan barang-barang itu.

“Ini taman permainan. Kau jangan macam tu je, main baling. Tadi kau cuba nak baling besi? Kalau kau baling tadi, kena kepala budak?,” soal penduduk berkenaan.

Bercakap kepada mStar Online, Mohd Edie Azhar, 32, yang merakam video tersebut memberitahu kejadian berlaku di pangsapuri yang didiaminya di Setia Alam di Shah Alam pada kira-kira pukul 4 petang, 2 Januari lalu.

“Masa tu anak saya nak bermain di taman permainan. Saya dengar bunyi bising dari luar sampai anak saya beritahu ada orang baling barang dari atas.

“Saya ‘standby’ kat luar nak tahu siapa yang baling barang tu. Kemudian, saya nampak ‘cleaner’ tu pegang dapur nak baling ke bawah. Saya jerit kat dia sebelum dia sempat campak,” katanya yang tinggal di pangsapuri itu sejak lima tahun lalu.

Mohd Edie berkata, tukang cuci itu memberitahu barang-barang yang masih elok digunakan itu  diberikan kepadanya oleh salah seorang penduduk.

Namun kerana tidak mahu turun naik beberapa kali untuk mengangkat barang-barang dari tingkat empat di pangsapuri lima tingkat itu, wanita berkenaan memutuskan untuk mencampakkan kesemuanya ke tingkat bawah.

“Papan besi (zink), tunku dapur, kerusi dan besi dah baling. Dapur dan rak besi belum baling. Dapur tu memang dah nak baling, tapi tak sempat sebab saya dah sergah dulu,” katanya sambil menambah tukang sapu itu kemudian diarah mengutip barang-barang yang dicampaknya.

Menurut bapa dua anak ini, dia membawa tukang cuci tersebut kepada pihak pengurusan pangsapuri tetapi dakwanya wanita itu hanya diberi nasihat supaya tidak mengulangi perbuatannya tanpa dikenakan sebarang tindakan susulan.

“Niat saya bukan nak aibkan sesiapa. Saya cuma nak jadikan pengajaran untuk semua sebab kes baling barang ni memang banyak jadi, tapi tak diberi perhatian sangat sampai kes remaja yang meninggal ditimpa kerusi baru-baru ini.

“Sepatutnya pihak pengurusan kena ambil tindakan sewajarnya, bukannya beri nasihat saja. Tak kan nak tunggu kes kecederaan atau kematian baru nak ambil tindakan,” katanya.

Isnin lalu, seorang remaja lelaki maut selepas dihempap sebuah kerusi pejabat yang dicampak dari tingkat atas pangsapuri PPR Seri Pantai, Pantai Dalam di Kuala Lumpur.

Kes berkenaan diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sumber: Mstar Online