LKIM Lakasana Larangan Eksport Ikan


SHAH ALAM - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) melaksanakan larangan eksport beberapa jenis ikan bagi tujuan memastikan bekalan hasil laut dalam negara mencukupi.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata, larangan berkuat kuasa mulai 1 Disember 2017 hingga 28 Februari depan.

Menurutnya, antara jenis ikan yang dilarang dibawa ke luar negara dalam bentuk segar adalah ikan kembung, selar, selayang, pelaling, bawal putih dan udang putih.

Beliau sebelum itu berkata, pihaknya ambil maklum berhubung kenaikan mendadak harga ikan seperti diadu pengguna negeri ini.

Menurutnya, bencana dan peralihan cuaca menyebabkan trend pendaratan ikan di seluruh negara rendah dan terdapat permintaan yang tinggi bagi beberapa jenis ikan.

"Ini terjadi hampir semua negeri terutama di Kedah, Perak, Pulau Pinang, Pahang dan Johor yang mengalami ribut petir, hujan lebat berserta angin kencang dan laut bergelora seperti yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi.

"Keadaan ini menyebabkan nelayan tidak dapat turun ke laut dan bekalan ikan berkurangan di pasaran," katanya.

Beliau berkata, fenomena tersebut bermula sejak minggu terakhir Disember dan berlanjutan hingga kini. Ia bersifat sementara dan dijangka bekalan ikan akan kembali pulih pada Mac depan.

Tambahnya, bagi mengimbangi kekurangan bekalan ikan segar, LKIM dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) mengambil langkah dengan mengaktifkan dan mengedar stok simpanan ikan segar beku Q’Fish sebagai alternatif kepada pengguna.

Orang ramai digalak mendapatkan Q’Fish yang dijual di bawah harga RM10.00/kg bagi lapan jenis ikan di seluruh negara seperti contoh di Kompleks LKIM Kuala Kedah, Pasar Nelayan PNK Batu Pahat, Pasar Nelayan Besut dan Taman Wahyu, Kuala Lumpur.

"Antara jenis ikan yang terdapat adalah kembung, selayang, cencaru, selar dan pelaling. LKIM juga telah mengadakan jualan ikan segar dengan harga lebih rendah berbanding harga pasaran pada setiap minggu bermula dari November lalu di lokasi terpilih.

"Sehingga kini, sebanyak 18 jualan diadakan melibatkan 13 lokasi termasuk di Selangor, Perak, Kedah, Johor dan Terengganu. Program ini juga dibuat setiap minggu di lokasi terpilih sekitar Selangor, setiap minggu pertama di MAEPS, Serdang dan sedang dirancang di negeri-negeri lain," katanya.

Sementara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) tidak mengawal harga ikan berikutan harga bagi makanan laut kebiasaannya bergantung kepada keadaan cuaca, penawaran dan bekalan.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor, Azman Adam berkata, bagaimanapun pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) untuk memastikan harga yang dijual tidak membebankan pengguna.

"Bagi KPDNKK maklumat harga memang kita ambil setiap hari tapi harganya kita tidak kawal kecuali pada musim perayaan.

"Biasanya setiap tahun bila berlaku musim tengkujuh akan berlaku kenaikan harga kerana bekalan ikan kurang," katanya mengulas kenaikan harga ikan yang didakwa  di beberapa daerah di negeri ini sejak 1 Januari lalu.

Sumber: Sinar Online