Lubang Tanah Jerlus Taman Selasih Siap Dibaiki


KULIM - Kerja-kerja membaik pulih lubang akibat tanah jerlus seluas lebih 9 meter di Taman Selasih di sini yang berlaku November tahun lalu kini telah siap sepenuhnya, kata Pengarah Jabatan Kejuruteraan Majlis Perbandaran Kulim, Ir Mohamad Tarmymy Che Ani.

Beliau berkata, kerja-kerja berkenaan telah siap awal minggu ini dan hasilnya adalah memuaskan.

"Bagaimanapun, dua hari lepas saya arahkan agar batu dan tanah ditambah lagi di atas permukaan jalan dan ia juga telah siap dilakukan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Mohamad Tarmymy berkata, pihaknya akan terus melakukan pemantauan bagi memastikan cerucuk yang ditanam bagi menguatkan struktur tanah dan longkang di situ tidak bermasalah.

Dalam pada itu, penduduk yang terjejas akibat tanah jerlus itu bersyukur kerja baik pulih telah siap lebih awal daripada yang dijadualkan.

Seorang penduduk di taman itu, Mohamad Khairi Abdul Rahman, 36, berkata beliau gembira kerana kawasan itu tidak lagi bahaya apabila kerja-kerja membaik pulih itu sudah siap dan tidak lagi berbahaya kepada penduduk setempat.

"Saya berharap perkara tersebut tidak lagi berlaku dan dalam masa yang sama projek membaik pulih sistem perparitan ini hingga ke Taman Angsana dapat dilakukan segera," katanya. - Bernama