Mahadzir Khalid Arah Segera Sediakan Laporan Kerosakan Banjir


ALOR SETAR – Kementerian Pendidikan mengeluarkan arahan kepada semua Jabatan Pendidikan nege­ri agar segera menyediakan laporan lengkap tentang kerosakan peralatan sekolah terutama buku teks yang terjejas akibat banjir 

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya sehingga kini telah menerima laporan bahawa sebanyak 34 buah sekolah rendah ditutup.

Sementara itu 31 buah sekolah pula dijadikan pusat pemindahan berikutan banjir yang melanda baru-baru ini di manamelibatkan seramai 7,406 murid di Pahang, Terengganu, Johor dan Sarawak.

“JPN perlu bertindak pantas bagi memastikan peralatan dan buku teks yang rosak dapat diganti secepat mungkin dan jika melibatkan kerosakan buku teks akibat ditenggelami air, jabatan sudah boleh buat laporan kepada kementerian untuk persediaan bagi menggantikannya dengan buku teks baharu.

“Penilaian berhubung kerosakan peralatan dan infrastruktur sekolah pula perlu dibuat sebaik sahaja banjir surut,’’ katanya.

Beliau berkata selepas menghadiri perjumpaan bersama Ahli Jawatankuasa Pelawat dan melawat Unit Hemodialisis Hospital Kuala Nerang di sini semalam.

Tegasnya, usaha bagi menggantikan buku dan peralatan yang rosak akibat banjir akan dilakukan sebaik sahaja keadaan banjir pulih demi memastikan sesi pembelajaran berjalan lancar.

“Hal berkaitan penggantian barangan yang rosak akibat banjir boleh disegerakan tanpa perlu menunggu keadaan reda dan kembali pulih.

“Banjir adalah situasi darurat, maka apabila kita sudah mene­rima laporan lengkap, langkah pembaikan dan penggantian barang yang rosak dapat disegerakan dengan menghantar kontraktor sekali gus pembelajaran tidak terganggu,” katanya.

Ahli Parlimen Padang Terap itu turut menambah, semua Jabatan Pendidikan negeri dan sekolah yang terlibat telah sedia maklum mengenai prosedur operasi standard (SOP) apabila berlakunya banjir.

“Laporan kerosakan terutama membabitkan buku teks dapat disediakan segera kerana kebanyakan sekolah menjadikan stor di bahagian bawah sebagai tempat simpanan buku teks dengan ke­semuanya sudah diketahui jenis buku teks,” katanya. - Kedahnews.com