Mahathir Gagal Jumpa Anwar Sebab Tiada Izin Penjara


GAGAL… Ini mungkin lucu apabila bekas perdana menteri selama 22 tahun yang ada pengalaman luas tetapi kecoh hanya kerana dirinya gagal memohon kebenaran pihak berkuasa terlebih dahulu.

Inilah menimpa Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir apabila hasratnya bertemu mangsa kezalimannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hospital Rehabilitasi Cheras di sini, semalam tidak kesampaian.

Mahathir, 92, yang tiba di perkarangan Unit Kemasukan Pesakit Wad pada pukul 4.15 petang kemudian selamba berjalan ke ruang menunggu berhampiran wad Ketua Umum PKR itu ditempatkan untuk menjalani rawatan.

Beliau yang pernah menjadi Menteri Dalam Negeri itu kemudian kecewa setelah diiringi Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar memasuki unit tersebut, namun keluar semula selepas 10 minit berada dalam lobi wad berkenaan.

Ketika ditemui pemberita, Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan belum didaftarkan sah, tampil berdalih dengan berkata, beliau tidak mendapat kebenaran pihak Jabatan Penjara untuk bertemu sendiri dengan Anwar.

“Saya kecewa kerana tidak dibenarkan melawat… Saya tidak dapat jumpa kerana diberitahu ada arahan supaya saya tidak boleh berjumpa dengan Anwar. Saya sedih kerana saya cuma ingin berjumpa beliau.

“Ini untuk mengucapkan terima kasih kerana tidak membantah, malah menyokong saya sebagai calon (Perdana Menteri baharu dan sementara waktu jika berjaya dalam pilihan raya umum),” katanya dengan nada bersahaja.

Sementara itu, anak Anwar berkenaan mengakui tidak ada pula membuat permohonan rasmi secara bertulis kepada Jabatan Penjara bagi membenarkan Mahathir datang melawat Anwar pada semalam.

“Tiada (surat permohonan dikemukakan). Kita membuat secara ‘arbitrari’ kerana sebelum ini pun ada menteri datang melawat tanpa surat permohonan. Ini ziarah silaturahim, bukan soal politik.

“Jika fikir politik semata-mata, tidak mungkin kita dapat menjiwai sifat kemanusiaan,” katanya merujuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid pernah melawat bapanya.

Anwar yang dihukum penjara atas kesalahan liwat, dimasukkan ke Hospital Rehabilitasi Cheras bagi menjalani pemulihan selepas pembedahan bahu kanan pada November tahun lalu. - Kedahnews.com