Mahathir Mahu Rakyat Kembalikan Kuasa Kepadanya


ALOR SETAR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu rakyat di negara ini memberikan kuasa kepadanya semula pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang dijangka bakal berlangsung tidak lama lagi.

Meskipun tidak menyebut namana sendiri, namun beliau menegaskan kerajaan terdahulu yang dikemudinya terbukti sangat cemerlang.

"Kita perlu kembali kepada kerajaan yang telah terbukti kebolehannya membangunkan negara berbanding (kerajaan) sekarang.

"Sekarang kita menderita. Dahulu tiada soal (susah) nak dapat kerja, biasiswa, lesen dan (peluang) perniagaan," katanya merayu kuasa di laman Facebook rasminya, hari ini.

Walau bagaimanapun, Mahathir tidak menyebut tentang derita rakyat yang bergaji kecil dan tidak mampu berbelanja dengan selesa di zaman pentadbirannya berbanding rakyat di zaman ini yang lebih memiliki kuasa belanja yang agak mewah.

Difahamkan bahawa golongan rakyat berpendapatan sederhana di zaman Mahathir terpaksa berjimat cermat dan tidak mewah berbanding sekarang di mana gedung membeli-belah penuh sesak hampir setiap bulan selain kekerapan melancong ke luar negara.

Selain itu, cuti persekolahan pada akhir tahun lalu juga menyaksikan ramai yang mengeluh ekoran dari bilik-bilik hotel yang penuh ditempah pengunjung berbanding di zaman Mahathir di mana rakyat majoritinya tidak mampu menginap di hotel berbintang.

Selain itu, bekas Perdana Menteri itu juga tidak mengulas mengenai kepayahan graduan untuk mendapatkan kerja di zaman beliau berkuasa terutama ketika negara dua kali dilanda krisis ekonomi yang menyaksikan kadar pengangguran yang tinggi.

Beliau turut tidak menyebut tentang pemberian biasiswa yang dimansuhkan ketika beliau berkuasa dan digantikan dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang menyaksikan ramai mahasiswa kurang berkemampuan ditarik balik biasasiswa.

Mahathir juga dalam bicaranya tidak menyentuh mengenai ratusan usahawan bumiputera kelas F yang muflis dan banyak perniagaan yang gulung tikar kesan ketika negara dilanda krisis ekonomi di zaman beliau berkuasa.

Fakta-fakta berkenaan sering menjadi hujah barisan parti pembangkang ketika itu termasuk DAP, PAS dan Keadilan (kini PKR), namun isu-isu berkenaan tidak lagi disebut selepas Mahathir mengetuai Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang kemudian menyertai Pakatan Harapan. - Kedahnews.com