MAHB Sedia Parkir Kereta Percuma Sementara Tunggu Ketibaan


SEPANG - Pengendali lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menyediakan ruang parkir percuma untuk mereka yang menunggu ketibaan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 untuk melancarkan aliran trafik di kawasan lapangan terbang.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali berkata, banyak kenderaan didapati berhenti di tepi jalan berhampiran pam stesen Petronas sebelum ke KLIA2 dan juga di kawasan aras ketibaan KLIA kerana menunggu ketibaan penumpang.

Menurutnya, sebagai langkah penyelesaian, MAHB menyediakan ruang parkir percuma di tepi kawasan Long Term Car Park (LTCP) atau percuma selama setengah jam untuk parkir di LTCP.

“Sekiranya waktu menunggu lebih setengah jam di LTCP, kita hanya akan kenakan caj parkir berpatutan iaitu sebanyak RM2.50 sejam,” katanya kepada media selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Asas Pegawai dan Pembantu Keselamatan Penerbangan (Polis Bantuan) MAHB, semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor yang turut hadir berkata, pihaknya tidak akan bertoleransi lagi dengan mereka yang meletakkan kenderaan di tepi-tepi jalan kerana pihak MAHB telah menyediakan kawasan menunggu sesuai.

“Kita telah mula pada tahun ini dengan mengeluarkan saman kepada mereka yang melanggar undang-undang termasuk kompaun maksimum atas setiap kesalahan dilakukan dan akan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi strategik,” katanya. - Bernama