Majoriti Senyap Sedang Melihat Sandiwara Mahathir, Pakatan Harapan


Golongan majoriti senyap diyakini tidak terpengaruh dengan gelagat pakatan pembangkang yang kini sibuk mahu mengangkat Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri jika memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata golongan ini bijak menilai permainan politik pembangkang yang sekadar bersandiwara ketika bermuafakat untuk memilih Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menduduki jawatan nombor satu negara itu.

"Walaupun hari ini kita resah dengan politik mainan sandiwara pakatan pembangkang dalam meletakkan siapa perdana menteri, kita kena yakin rakyat Malaysia bijak. Mereka ini golongan majoriti senyap mampu menilai.

"Setiap kali pilihan raya, kita lihat mereka tetap mengutamakan kestabilan, keharmonian dan perpaduan rakyat. Mereka lebih mengutamakan siapa yang buat kerja dan siapa banyak bercakap," katanya dalam Program Anda Tanya Kami Jawab Bersama Tan Sri Annuar Musa melalui Facebook UMNO Online bertajuk 'Polemik PM Pakatan Harapan' di Auditorium UMNO, Menara Dato' Onn di Kuala Lumpur semalam.

Ahli panel yang terbabit dalam program itu ialah bekas Setiausaha PKR Selangor, Nazmi Rosli; Ahli Jawatankuasa Alumni Kelab UMNO Luar Negara, Dr Kusyairi Ahmad; Ahli Jawatankuasa Penerangan MIC Pusat, A Subash Chandrabose; Presiden Pertubuhan Anak Perak, Faizal Lentin; dan Pengarah Operasi Aktivis Belia Malaysia (MALAYA), Farhan Khairuddin.

Annuar berkata, golongan terbabit juga tahu UMNO dan Barisan Nasional (BN) mempunyai rekod yang baik dalam urusan mentadbir negara termasuk kejayaan dicapai menerusi agenda transformasi yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Mereka tahu DAP ada ideologi yang tidak berubah, PKR memperjuangkan (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim), Dr Mahathir pula bergaduh dengan Najib hendak naikkan anaknya (Datuk Seri) Mukhriz.

"Rakyat Malaysia melihat ini semua. Transformasi dibawa Najib tidak nafikan ada fakta. Zaman Dr Mahathir (Malaysia) tidak dapat penarafan A pun. Zaman Tun hanya dapat B. Zaman Najib sahaja dapat penarafan A-.

"Cara kita uruskan ekonomi juga mendapat pengiktirafan Bank Dunia dan Tabung Matawang Antarabangsa (IMF).

"Pendekatan yang Najib buat juga jelas, menjaga ekonomi negara, perpaduan rakyat, menjaga Malaysia menjadi negara dihormati di mata dunia dan menjaga hubungan politik yang baik dengan negara luar. Rakyat menilai semuanya," katanya.

Beliau berkata, rakyat pasti akan menolak parti yang hanya menjadikan pilihan raya untuk memilih bakal Perdana Menteri tetapi terpaksa mengadakan pilihan raya sekali lagi untuk memilih Perdana Menteri sekali lagi.

Sumber: BH