Maklumat Salah Ancam Keselamatan Negara


KOTA BHARU - Media sosial bukan saja berperanan sebagai saluran penyebaran maklumat mutakhir tetapi juga mampu memberi ancaman kepada keselamatan negara.

Perkara itu boleh dicetuskan dengan penyebaran berita tidak sahih yang akan dimanipulasi oleh pihak tertentu sebelum dikumpul dan seterusnya diperhalusi menjadi satu maklumat yang mampu mengancam keselamatan negara.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan, mengingatkan orang ramai tidak membocorkan rahsia kerajaan dengan cara menyebarkan berita yang tidak sahih termasuk gambar yang disunting bagi tujuan menjatuhkan maruah individu lain.

"Walaupun kita rasakan informasi itu remeh tapi apabila sampai ke tangan pihak yang tidak sepatutnya, ia akan dimanipulasi.

"Sekarang ini dengan kemudahan alat komunikasi yang canggih, mudah semua menerima maklumat termasuk berita yang tidak atau belum sahih," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Hasanuddin ditemui selepas majlis penyerahan watikah perlantikan pengerusi dan ahli jawatankuasa daerah Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Negeri Kelantan.

Dalam majlis itu watikah Skuad Muda Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut disampaikan kepada wakil setiap Parlimen.

Hasanuddin berkata kewujudan MCPF sejak 25 tahun lalu sememangnya membawa peranan besar kepada pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha pencegahan jenayah secara langsung dan tidak langsung.

Yang turut hadir adalah Pengerusi MCPF Kota Bharu merangkap Ketua Skuad JPJ Kelantan, Datuk Seri Jae Affandi Hussin dan Pengarah JPJ Kelantan, Mahasan Mustaffa.

Majlis penyerahan turut disempurnakan oleh Pengerusi Skuad Muda JPJ Malaysia, Datuk Seri Ismail Ahmad.

Sumber: BH Online