KANGAR - Kerajaan dicadangkan supaya mengambil inisiatif menggerakkan usaha untuk mencantikkan kubah Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis bagi membezakan antara masjid suci umat Islam itu dengan kompleks Qubbah al- Sakhrah yang berkubah emas dan terletak berhampiran.
Mufti negeri, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin yang sedang dalam rangka lawatan ke Turki untuk berucap dalam satu majlis di atas jemputan kerajaan negara itu berkata, ini boleh dilakukan menerusi rundingan diplomatik.
Kata beliau, jika usaha tersebut berjaya, sudah pasti ia akan dapat menempatkan Malaysia sebagai pihak yang berjasa kepada Masjid Al-Aqsa.
“Ramai yang keliru sehingga menyangka Qubbah al- Sakhrah yang dibina pada zaman Khalifah Abd al-Malik bin Marwan dan dihiasi oleh pemerintah-pemerintah selepas itu termasuk Raja Husein bin Talal dari Jordan merupakan Masjid Al-Aqsa.
“Oleh kerana hiasan yang indah (berkubah emas), banyak gambar diambil kerana menyangka Qubbah al-Sakhrah adalah Masjid Al-Aqsa.
“Sedangkan sebenarnya Masjid Al-Aqsa hanya berkubah biasa sahaja. Mungkin Israel juga suka hal yang demikian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sumber - Utusan