Malaysia Hantar Kontinjen Terbesar Ke Sukan Komanwel 2018


KUALA LUMPUR - Malaysia dijangka menghantar kontinjen terbesar terdiri daripada 99 atlet lelaki dan 76 atlet wanita pada Sukan Komanwel 2018 yang akan berlangsung di Gold Coast, Australia, April depan.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar, bagaimanapun berkata badan induk sukan itu masih menunggu senarai nama atlet daripada beberapa sukan yang belum layak secara merit ke temasya sukan berkenaan.

"Saya berpendapat, kita akan menghantar kontinjen terbesar dalam sejarah penyertaan pada Sukan Komanwel kerana kebanyakan sukan di Gold Coast melibatkan banyak acara berpasukan.

"Saya sangat gembira kerana atlet kita terutamanya dalam sukan pilihan menunjukkan peningkatan dengan layak secara merit daripada hanya bergantung kepada sukan teras seperti olahraga dan renang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan MOM di Wisma MOM di sini pada Isnin.

Mengenai pungutan pingat, Tunku Imran yakin kontinjen negara dalam beberapa sukan seperti skuasy, badminton dan berbasikal trek akan menampilkan prestasi yang baik.

"Tetapi pada akhirnya, terpulang kepada atlet dan juga pengurusan pasukan dalam merangka strategi terbaik dalam sukan masing-masing untuk meraih keputusan positif," katanya.

Kontinjen Malaysia akan bersaing dalam 11 daripada 25 jenis sukan yang dipertandingkan, termasuk tujuh sukan para pada Sukan Komanwel 2018 yang akan berlangsung dari 8 hingga 15 April. - Bernama