Malaysia Jalin Kerjasama Dengan La Liga Sepanyol


JOHOR BAHRU – FOOTBALL Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama La Liga Sepanyol dalam usaha membantu meningkatkan kualiti Liga Malaysia (Liga_M).

Melalui perjanjian persefahaman itu, La Liga akan membuka jalan kepada pemain liga Sepanyol itu untuk bermain di Malaysia serta mengatur perlawanan antara pasukan La Liga di Malaysia semasa pramusim.

MoU selama tiga tahun itu ditandatangani Pengerusi PMLLP, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), manakala La Liga diwakili oleh Pengarah Pembangunan Antarabangsa, Oscar Mayo Pardo.

Tunku Ismail berkata kerjasama itu merangkumi setiap aspek dalam pembangunan badan bola sepak di negara kita.

“Ini merupakan pelan pembangunan bola sepak untuk jangka masa panjang dan saya yakin kerjasama ini akan membantu kejayaan bola sepak kita di masa akan datang,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU itu di sini.

Perbincangan antara FMLLP dengan La liga yang berlangsung selama empat bulan sebelum ini merangkumi pertukaran maklumat, informasi di samping berkongsi pengalaman dan kemahiran dalam meningkatkan tahap liga bola sepak di kedua-dua negara.

“Kedua-dua pihak akan berkongsi maklumat dan pengalaman serta penganjuran seminar mengenai liga profesional dan pengurusan kelab terutama dalam bidang pemasaran turut menjadi agenda dalam perjanjian ini,” katanya. – BERNAMA