SINGAPURA - Malaysia dan Singapura hari ini menandatangani perjanjian dua hala bagi memuktamadkan pelaksanaan projek Sistem Transit Rapid (RTS) pada Sesi Pemukiman Pemimpin Malaysia - Singapura Kelapan di sini.
Perjanjian ditandatangani Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Menteri Penyelaras Bagi Infrastruktur merangkap Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan, dengan disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong.
Sistem MRT rentas sempadan antara Johor Bahru dan Singapura sejauh 4 kilometer itu, yang diumumkan pada 2010, akan beroperasi dari Bukit Chagar di Johor ke stesen Woodlands North di Singapura.
RTS Link mampu mengangkut sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah apabila siap pada 2024.
RTS dijangka mengurangkan masa perjalanan antara kedua-dua negara kepada 30 minit berbanding lebih sejam pada masa ini.
Sumber: BH Online