Mangsa Kereta Dibakar Pernah Bertugas Di Bahagian Penguatkuasaan Kastam


PUTRAJAYA – Pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), yang empat kenderaan miliknya dan keluarga terbakar dipercayai perbuatan khianat di hadapan rumahnya di Presint 11 di sini semalam, pernah menumpaskan sindiket ketika bertugas di bahagian penguatkuasaan agensi itu.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, sebelum ditukarkan ke Bahagian Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) JKDM, pegawai kanan itu pernah menumpaskan sindiket yang membawa masuk barang berduti tinggi seperti rokok dan arak.

“(Kejadian) itu tiada kaitan dengan GST. Ia mempunyai kaitan dengan tugas sebelum ini.

“Sebelum ditukarkan, beliau berjaya menumpaskan beberapa sindiket yang membawa masuk barang-barang bernilai berjuta-juta ringgit yang tidak dibayar duti,” katanya pada sidang media selepas Sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-36 Tahun 2018 di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi itu, empat kenderaan milik keluarga Penolong Kanan Pengarah Kastam Penguat Kuasa GST JKDM, Nur Azman Mat Jini terbakar di hadapan rumah kuarters yang didiaminya, dipercayai akibat perbuatan khianat.

Kejadian itu turut mengakibatkan bahagian hadapan rumahnya hampir musnah berikutan api merebak daripada kenderaan yang terbakar itu.

Johari berkata, pegawai dan anggota JKDM terdedah dengan ancaman jenayah kerana banyak transaksi yang melibatkan barangan berduti tinggi.

“Sebab itu, kita sentiasa memantau aktiviti gelap ini agar ia tidak menjejaskan peranan Kastam untuk memantau sistem pencukaian dalam negara,” katanya sambil memberi jaminan bahawa keselamatan pegawai dan anggota JKDM akan sentiasa dipantau.

“Bagi mereka yang diugut, (mereka) diminta membuat laporan polis agar siasatan dapat terus berjalan agar perkara tidak diingini tidak berulang,” katanya. – Bernama