KETIADAAN dua pemain import Indonesia, Evan Dimas serta Ilham Udin Armaiyn pada sesi latihan pasukan Selangor di Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam membuatkan ketua jurulatih skuad Gergasi Merah, P. Maniam tidak senang duduk.
Jurulatih berusia 50 tahun itu yang mengakui bingung dengan keadaan tersebut memberitahu, kedua-dua pemain kelab Bhayangkara FC berkenaan sepatutnya melaporkan diri semalam, selepas gagal berbuat demikian pada 22 Disember lalu, namun kelibat mereka tidak kelihatan.
“Kedua-dua pemain import dari Indonesia iaitu Evan serta Ilham masih belum dapat menghadiri sesi latihan bersama kami minggu ini. Perkara tersebut saya serahkan kepada FAS (Persatuan Bola Sepak Selangor) untuk berbincang dengan PSSI (Persatuan Bola Sepak Indonesia).
“Cuma, saya berharap ia dapat diputuskan dengan segera kerana saingan Liga Malaysia (Liga M) musim baharu akan bermula tidak lama lagi,” katanya.
Difahamkan kedua-dua pemain itu tidak mendapat pelepasan PSSI selepas Presidennya, Edy Rahmayadi memanggil semula semua pemain kebangsaan Sang Garuda untuk terus kekal bersaing dalam liga utama negara republik itu tahun ini dalam misi menaikkan mutu bola sepak di Indonesia.
Sumber: Sinar Harian