KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyasarkan kutipan sumbangan RM10 juta tahun ini bagi projek kemanusiaan untuk manfaat masyarakat Rohingya.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata bantuan itu khususnya untuk pembangunan prasarana jangka panjang meliputi sekolah, surau, tandas dan telaga air di kem-kem pelarian di Cox’s Bazar, Bangladesh.
“Pembinaan prasarana ini dijangka dapat memanfaatkan kira-kira 100,000 daripada sejuta pelarian Rohingnya,” katanya pada sidang media selepas tayangan amal filem dokumentari mengenai masyarakat tertindas itu, di sini malam ini.
Pada majlis itu, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil berangkat merasmikan tayangan amal itu.
Filem terbitan bersama MAPIM dan Karyawan Bestari Sdn Bhd itu memaparkan keadaan fizikal kem-kem pelarian selain temu bual bersama beberapa orang pelarian mengenai penderitaan dan kesengsaraan yang mereka lalui.
Tayangan amal itu akan diteruskan di seluruh negara dengan kerjasama kerajaan negeri bagi mencetuskan kesedaran yang lebih meluas terhadap nasib malang etnik Rohingya. – BERNAMA