ALOR SETAR - Jurulatih Kedah, Ramon Marcote yang mengharapkan skuad Lang Merah akan mengharungi saingan Liga Super musim ini dengan menggunakan lima pemain import namun bagi Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) pula seolah-olah memberi bayangan berbeza.
Pintu perpindahan pertama bakal ditutup pada 11 Februari depan namun sehingga kini, KFA masih belum memuktamadkan soal memenuhi kuota pemain import ASEAN yang diperkenalkan FOOTBALL Limited Liability Partnership (FMLLP) bagi musim ini.
Menurut Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah turut menyuarakan keyakinan bahawa Kedah mampu mengharungi saingan Liga Super 2018 dengan berbekal empat pemain import yang mana dua daripadanya pilihan Marcote sendiri.
Jelas Ahmad Bashah, pihaknya memahami kehendak jurulatih Lang Merah itu yang berhasrat memenuhi kuota pemain import ASEAN namun soal keperluan membayar gaji yang tinggi antara faktor yang masih ditimbang tara KFA sehingga kini.
“Kita (pihak pengurusan KFA) masih berbincang (menambah pemain import kuota ASEAN) kerana penambahan pemain import ini melibatkan kewangan, gaji tinggi.
“Kalau kemampuan pemain import (ASEAN) setara pemain tempatan, baik ambil pemain tempatan sahaja buat apa nak bayar gaji tinggi kepada pemain import.
“Bagaimanapun, kita dapat pemain import yang lebih hebat daripada pemain tempatan, itu tidak mengapa,” katanya di sini semalam.
Ahmad Bashah yang juga Menteri Besar Kedah berkata, KFA bagaimanapun masih belum memuktamadkan soal penambahan pemain import bagi kuota ASEAN itu dan sekali gus membuka ruang perbincangan antara jurulatih serta pihak pengurusan persatuan berkenaan.
“Kita akan bincang lagi perkara ini dengan jurulatih dan pengurus pasukan lebih tahu mana yang baik untuk mengukuhkan kedudukan Kedah namun pada masa sama, KFA perlu mengamalkan perbelanjaan berhemah.
“KFA bersedia menimbang pemain import yang dipilih Marcote tapi kita mahu menyaksikan kelebihannya dulu kerana melibatkan kewangan. Saya sendiri lebih suka berbincang dalam memastikan keputusan yang dibuat dipersetujui jurulatih mahupun pihak pengurusan KFA,” katanya memetik Utusan Online.
Liga Super 2018 bakal membuka tirai pada 3 Februari ini menerusi perlawanan Piala Sumbangsih yang akan menyaksikan pertembungan antara juara Liga Super 2017, Johor Darul Ta'zim (JDT) menentang juara Piala FA 2017, Kedah di Stadium Larkin.- Kedahnews.com