PENDANG - Masjid Ibadurrahman Kampung Alor Besar memerlukan dana sebanyak RM15,000 bagi memperluaskan jalan.
Setiausaha masjid, Zadul Mutaalim Ramli, 51, berkata, jalan berkenaan terlalu kecil sehingga mendatangkan banyak masalah kepada anak jemaah.
"Kemalangan juga kerap berlaku sebab keadaan jalan tersebut yang menyebabkan kenderaan tidak boleh berselisih," katanya.
Katanya, pihak masjid memerlukan dana sebanyak RM15,000 kerana perlu membeli tanah yang banyak untuk menambun terlebih dahulu kawasan tersebut.
"Ini kerana kiri kanan jalan tu adalah sawah padi, jadi kami perlukan tanah untuk tambun dulu kawasan tu.
"Kos tanah merah, sewa lori dan tar sangat mahal sekarang ni dan kami amat berharap dana yang diperlukan dapat dibantu oleh pihak yang prihatin," katanya.
Menurut Zadul, hasrat untuk melebarkan jalan ini adalah demi kebaikan anak jemaah kampung berkenaan yang perlu bersesak terutama pada hari Jumaat.
Zadul berkata, kemalangan juga kerap berlaku terutama apabila dua kenderaan seperti kereta melalui jalan tersebut kerana laluannya yang sempit.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian ke akaun CIMB 7047645296 atas nama Masjid Kampung Alor Besar.
Sumber: Sinar Harian