KUALA TERENGGANU - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu yang bertindak sebagai sekretariat bencana negeri sentiasa mengingatkan kepada orang awam untuk ambil cakna tentang persiapan keselamatan pada musim Monsun Timur Laut.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata fenomena air pasang besar berlaku apabila graviti bumi terjejas semasa bulan penuh dan ketika Monsun Timur Laut.
"Dijangkakan peningkatan paras air laut akibat fenomena air pasang besar dalam tempoh tiga hari meningkat ke aras 2.9 hingga 3.1 meter dan kelajuan angin bertiup ialah 40 ke 50 kilometer sejam.
"Kita bernasib baik kerana tiada pertembungan antara air pasang besar dengan hujan lebat di kawasan Kuala Terengganu, Marang dan Setiu yang menyebabkan paras air tidak terlalu tinggi seperti sebelum ini," katanya yang ditemui ketika meninjau fenomena air pasang besar lewat malam kelmarin di sekitar Kuala Terengganu di sini.
Beliau berkata bagi kawasan yang berisiko hakisan seperti di Mengabang Telipot, Pantai Tok Jembal dan Pantai Bari Kecil, Setiu, pihak APM telah menugaskan beberapa anggota untuk sentiasa memantau situasi dari semasa ke semasa.
Orang ramai yang tinggal di kawasan lembah atau kawasan tanah rendah diingatkan supaya sentiasa bersiap sedia untuk berpindah jika kawasan penempatan dinaiki air dan berhubung dengan pihak pemimpin setempat bagi mendapatkan info pusat pemindahan yang dibuka.
Selain itu, Che Adam turut menasihatkan mereka yang tinggal berdekatan dengan pantai agar tidak berada terlalu hampir dengan pinggir pantai bagi mengelak sebarang risiko yang mampu meragut nyawa.- BERNAMA