MB Perlis: Kekal Atau Tidak, Azlan Serah Pada PM


ARAU - Datuk Seri Azlan Man menyerahkan sepenuhnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sama ada mengekalkan beliau sebagai Menteri Besar atau sebaliknya jika Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di negeri ini.

Dalam masa sama, Azlan juga menyerahkan kepada Perdana Menteri membuat keputusan untuk mengekalkan beliau di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pauh atau kerusi DUN lain termasuk memindahkannya di kawasan Parlimen pada pilihan raya kelak.

“Kemungkinan banyak namun apa keputusan ditentukan oleh kepemimpinan tertinggi parti iaitu Perdana Menteri. Jika dahulu Perdana Menteri mahu saya bertanding di DUN Pauh, kali ini (PRU-14) juga Perdana Menteri akan membuat keputusan.

“Terpulanglah sama Perdana Menteri hendak saya bertanding di Pauh sekali lagi atau Kangar dan di mana-mana kawasan sekalipun. Malah Perdana Menteri juga boleh membuat keputusan untuk saya tidak bertanding.

“Apa jua keputusan Najib dan kita akan akur,” katanya ketika ditemui selepas majlis santai Pusat Daerah Pengundi (PDM) Padang Siding di Dewan Orang Ramai Kampung Rambai di sini malam tadi.

Kebelakangan ini, desas-desus bertiup kencang kononnya Azlan bakal berpindah di kerusi Parlimen Kangar pada PRU-14 sekali gus memberi laluan kepada muka baharu menjadi calan Menteri Besar.

Pada PRU-13, Azlan yang juga muka baharu ketika itu memenangi kerusi DUN Pauh apabila menewaskan calon Pas, Idris Yaacob dengan majoriti 1,382 undi.

Azlan dilantik menjadi Menteri Besar menggantikan Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu yang memegang jawatan tersebut hanya sepenggal dari tahun 2008 hingga 2013.

Terdahulu, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim menyandang jawatan Menteri Besar selama tiga penggal dari tahun 1995 sehingga 2008.

Sebelum bergerak aktif dalam arena politik, Azlan yang berasal dari Arau memegang beberapa jawatan penting dalam kerajaan dengan jawatan terakhir pada 2011 sebagai Timbalan Ketua Pengarah Biro Pengaduan Awam.

Sementara itu, Azlan berkata, beliau telah menyerahkan senarai nama calon yang bakal diketengahkan pada PRU-14 kepada Perdana Menteri bulan lalu.

“Saya memberi nama sekurang-kurang empat calon bagi kawasan Parlimen dan DUN. Terserah kepada Perdana Menteri mempertimbangkan siapa calon dalam kalangan mereka yang layak,” katanya.

Sumber: Utusan Online