Minyak Masak, Tepung Gandum Sering Diseludup Ke Thailand


KANGAR - Permintaan tinggi terhadap minyak masak dan tepung gandum bersubsidi Malaysia menyebabkan pihak tertentu sanggup menyeludupnya ke negara jiran, walaupun denda bagi kesalahan tersebut dikategorikan tinggi.

Terbaharu, Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) Perlis merampas kira-kira 1,970 kilogram (kg) minyak masak bernilai lebih RM5,000 dan 240 kg tepung gandum  bernilai RM573 daripada sebuah lori tiga tan tempatan serta tiga lori pikap Thailand di Wang Kelian, petang kelmarin.

Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perlis Khairul Amin Talib berkata pasukan AKSEM  menahan kesemua kenderaan tersebut di Pos Kawalan, dua kilometer dari pintu sempadan WangKelian/Wang Prachan di sebelah Thailand antara 5 hingga 5.30 petang.

“Sebuah lori yang dipandu seorang lelaki tiba di pos tersebut kira-kira 5 petang ditahan setelah pemeriksaan menemukan 1700 paket minyak masak seberat 1700  kilogram bernilai lebih RM4,250 ditimbun dengan bawang supaya tidak dilihat pihak berkuasa yang memeriksa,” katanya kepada media di sini, semalam.

Beliau berkata selepas itu pasukan AKSEM menemukan sejumlah 270 paket minyak masak seberat 270 kg bernilai RM761 dan 240 paket tepung gandung seberat 240 kg bernilai RM573 dari tiga pikap yang diperiksa, masing-masing dipandu  rakyat Thailand.

Khairul Amin berkata kesemua empat pemandu berumur 30-an itu tidak dapat mengemukakan dokumen kebenaran eksport menyebabkan muatan dan kenderaan  mereka, dianggarkan bernilai RM160,000 ditahan dan diserahkan kepada KPDNKK untuk tindakan lanjut.

“Kami yakin penyeludupan  ke negara jiran ini membabitkan individu lain walaupun  kesemua empat kes ini tidak berkait satu sama lain. Kami juga percaya pemandu  kenderaan terlibat hanya mengambil upah kerana harga komoditi tersebut di Thailand lebih tinggi,” katanya. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda maksimun RM1 juta atau penjara hingga 3 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Beliau berkata bekalan minyak masak untuk keperluan rakyat Perlis pada masa ini adalah mencukupi dan tidak timbul masalah kekurangan bekalan. - Bernama