KUALA LUMPUR - Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek akan mengekalkan senarai pemain yang diumumkan sebelum ini untuk beraksi di Kejohanan Berpasukan Asia (kelayakkan Piala Thomas) dan jika ada perubahan sekali pun ia mungkin bakal dilakukan untuk saingan Piala Thomas Mei depan.
Menurutnya, mereka akan mengekalkan pemain berdasarkan perancangan awal dan mengekalkannya untuk aksi kelayakkan Piala Thomas bulan depan di Alor Setar.
"Mengenai cadangan sebarang perubahan mungkin akan dibincangkan selepas itu (selepas Kejohanan Berpasukan Asia). Ia berdasarkan prestasi pemain yang saya pilih. Ini kerana berkemungkinan akan ada perubahan dari segi perangai dan prestasi pemain itu sendiri," katanya.
Misbun mengakui memang ada membuat kenaytaan bahawa beliau akan membuka ruang kepada pemain luar BAM untuk disenaraikan sekiranya prestasinya menonjol.
"Ada di antara mereka yang tiba-tiba matang. Jadi saya perlu memahami dan melihat apa sebenarya berlegar di fikiran pemain seperti ini apabila berjaya mencecah ke tahap ini.
"Kita harus memberi ruang dan peluang kepada mereka, seterusnya melihat sejauh mana tahap konsisten mereka selain ketahanan untuk menggalas perjuangan jika ditempatkan dalam pasukan utama nanti. Jika mereka stabil, memang tidak ada masalah dan saya memberi jaminan," katanya.
Dalam pada itu, Misbun mengakui ia adalah perkara biasa apabila ada individu yang memberi pandangan secara spontan mengenai pemilihan pemain berdasarkan prestasi di mana-mana kejohanan.
"Ia adalah pandangan secara spontan, cara mereka melihat adalah melalui prestasi dari awal, sedangkan kita melakukan persiapan jangka panjang.
"Saya masih baru lagi di sini, tapi saya cuba untuk memupuk pemain supaya meningkatkan prestasi dengan memberi kefahaman mendalam dari segi aspek permainan dan prestasi. Kata-kata orang luar saya anggap sebagai satu pandangan positif dan pemain harus mengambilnya juga secara positif," katanya.
"Saya sepatutnya tertekan dan saya terima kritikan kepada mereka yang mempersoalkan prestasi Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Lee Zii Jia dan Soong Joo Ven," kata bekas pemain perseorangan lelaki negara itu.
Sumber: BH Online