Misteri Lubuk Bunian Di Gunung Jerai Kedah


Gunung Jerai merupakan sebuah tempat yang penuh dengan misteri dan mitosnya. Sebut sahaja mengenai gunung ini, penduduk yang berada berhampiran dengannya akan membuka cerita mengenai kejadian-kejadian aneh yang berlaku. 

Sambil bercerita penduduk di sini akan menyelitkan pelbagai nasihat apabila pengunjung hendak mendaki Gunung Jerai. Pengunjung dinasihatkan supaya tidak bercakap besar dan haruslah mempunyai niat yang baik ketika hendak mendaki Gunung Jerai. 

Terdapat juga dakwaan yang mengatakan bahawa jika pengunjungnya melanggar pantang larang ini, mereka berkemungkinan besar akan ditimpa musibah dan sesat dan tidak akan jumpa jalan pulang.

Mitos Gunung Jerai ini dikaitkan dengan kedatangan Raja Bersiong yang merupakan orang pertama yang membuka kawasan penempatan di kaki gunung ini.

Cerita mengenai mitos lagenda Raja Bersiong amat terkenal dengan tabiatnya yang dikatakan suka meminum darah manusia sehingga ia telah difilemkan di negara ini.


Di Puncak Gunung Jerai terdapat sebuah batu besar yang berbentuk sebuah kapal dipercayai telah disumpah oleh Sang Kelembai.

Sang Kelembai pula ialah gergasi yang mempunyai sakti. Kapal tersebut dikatakan telah dinaiki oleh Maharaja Merong Mahawangsa yang ketika itu ingin berlabuh di Pulau Jerai iaitu nama asal bagi Gunung Jerai. 

Terdapat juga Perigi Tok Sheikh yang merujuk kepada seorang agamawan yang dianggap sebagai manusia yang mulia dan warak suatu ketika dahulu.

Beberapa pihak sebelum ini turut mendakwa air daripada perigi tersebut boleh menjadi penawar kepada pelbagai jenis penyakit dengan cara meminum atau mandi dengan menggunakan airnya.

Namun begitu, wujud juga pandangan saintifik yag mengatakan air perigi berkenaan memiliki khasiat mineral semulajadi yang berkualiti tinggi dan mampu membantu kesihatan tubuh badan manusia.


Gunung Jerai sebenarnya turut digelar oleh penduduk tempatan sebagai lubuk bunian.

Gunung ini dikatakan adalah merupakan penempatan bunian yang terbesar dan diperintah oleh raja bunian. Oleh sebab itu, penduduk di sekitar Gunung Jerai percaya bahawa gunung ini secara tidak langsung turut dijaga oleh orang bunian. 

Pekerja di puncak ini pernah menceritakan pengalaman beliau diperlihatkan sebuah kawasan penempatan bunian dan istana bunian di pinggir air terjun berdekatan dengan Telaga Tok Sheikh.


Dia juga pernah melihat seorang gadis cantik iaitu jelmaan daripada bunian ketika menjalankan tugas. Bunian dikatakan akan menjelmakan diri mereka kepada sesiapa sahaja yang disukainya. 

Cerita mengenai bunian di Gunung Jerai juga pernah menggemparkan negara dengan kehilangan seorang pemuda yang berusia awal 20-an pada tahun 2000. Pemuda itu dikatakan mengikut seorang gadis cantik yang berada di gunung tersebut. 

Pelbagai usaha telah dilakukan untuk mencari dan menyelamat pemuda tersebut, namun gagal ditemui. Setelah seminggu misteri kehilangannya heboh diperkatakan, akhirnya dia telah dijumpai di sekitar kawasan air terjun.


Namun, amat memilukan hati apabila beliau dijumpai telah meninggal dunia dengan keadaan tubuh badannya yang amat mengerikan. Mayat tersebut dijumpai tidak mempunyai kepala dan badan pemuda tersebut diceraikan. 

Suasana sedih menyelubungi kawasan itu apabila ahli-ahli keluarganya tiba untuk melihat dan membawa balik mangsa. Dikatakan tempat yang mereka jumpai mayat tersebut merupakan penempatan orang bunian iaitu di sekitar air terjun. 

Ramai penduduk di situ sudah tidak berani untuk mendaki Gunung Jerai dan mereka mengaitkan kematian pemuda tersebut dengan niatnya yang tidak baik atau selalu bercakap besar. 

Namun, apabila pelbagai spekulasi yang dibuat terhadap gunung ini dihebohkan, ramai pula yang datang dari hari ke hari. Rata-rata pengunjung yang berkunjung di sini amat tertarik dengan peristiwa-peristiwa yang berlaku di gunung ini. 


Ada diantaranya yang ingin merasai sendiri pengalaman berada di Puncak Gunung Jerai dan nekad sanggup berdepan sendiri dengan orang bunian yang heboh diperkatakan oleh penduduk tempatan di sini.

Namun begitu, niat mereka itu segera dinasihatkan oleh penduduk kampung supaya tidak terlalu taksub dengan cerita yang diperkatakan kerana khuatir nanti menimbulkan syirik, khurafat dan tahyul yang memakan diri sendiri. - Kedahnews.com