MKN Malaysia-Thai Tandangani MoU Kerjasama


BANGKOK – Majlis Keselamatan Negara (MKN) Malaysia dan Thailand hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) penubuhan Jawatankuasa Kerja Bersama-Kerjasama Keselamatan antara kerajaan kedua-dua negara.

MoU ditandatangani oleh Ketua Pengarah MKN Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Setiausaha Agung MKN Thailand Jen Wanlop Raksanor sambil disaksikan Timbalan Menteri Dalam Negeri Malaysia Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Timbalan Menteri Pertahanan Thailand Jen Chaichan Changmongkol.

“MoU ini akan memantapkan kerjasama keselamatan antara kedua-dua negara berjiran terutamanya bagi menangani isu-isu keselamatan di sempadan kedua-dua negara antaranya berkaitan ancaman keganasan, jenayah rentas sempadan dan dwikerakyatan,” kata sumber kepada Bernama semalam.

Menurutnya jawatankuasa bersama itu juga akan menangani isu berkenaan pengurusan keselamatan sempadan.

Katanya lagi, MoU kerjasama keselamatan itu lebih relevan dan holistik dalam menangani isu-isu keselamatan antara kedua-dua negara kerana melibatkan perkara dasar-dasar kerajaan di Putrajaya dan Bangkok.

Mesyuarat pertama jawatankuasa bersama kerjasama keselamatan dijangka diadakan di Malaysia dalam tempoh terdekat. – BERNAMA