KETIKA ini di Iran sekarang, jutaan rakyat miskin turun ke jalan untuk berdemonstrasi buat hari kelima. Sudah 13 orang terbunuh, ratusan yang lain ditahan dan akses media sosial terus disekat.
Di negara Syiah itu, kadar pengangurannya adalah 12.6 peratus, atau 10.2 juta orang rakyatnya tiada pekerjaan. Demonstrasi jalanan lazimnya mudah tercetus apabila berlaku poket kosong dan perut lapar.
Datanglah apa juga isu, jika ekonomi sesebuah negara tidak diuruskan dengan baik, maka rakyat akan mula marah kepada pemerintah. Itu juga berlaku di Mesir pada 2011, ketika Arab Spring menjatuhkan Presiden Hosni Mubarak.
Ketika itu kadar pengangguran adalah 20% atau 16 juta rakyat Mesir masih menganggur! Itu krisis berlaku di rantau Timur Tengah. Di Arab Saudi pula semalam, kerajaannya menaikkan harga minyak dari 80 hingga 126 peratus.
RON95 dijual pada harga 2.04 riyal (RM2.21) seliter, berbanding 0.90 riyal (RM0.98) sebelum ini. Biarpun naik sampai 126 peratus, harga minyak di Arab Saudi masih lagi disenarai antara yang ke-15 paling murah di dunia.
Arab Saudi mengambil pengajaran dari Venezuela, apa gunanya minyak terlalu murah hingga RM0.04 seliter tetapi keadaan ekonomi tidak berkembang. Kadar pertumbuhan ekonomi di Venezuela malah adalah negatif 12 peratus.
Kadar pengangguran negara Amerika Latin itu pula tinggi iaitu 7.3 peratus atau 2.4 juta rakyatnya. Impaknya kini kena Arab Saudi apabila Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) unjur ekonomi kembang pada kadar 0.4 peratus.
Ia ekoran kejatuhan harga minyak dunia sejak 2015 lagi. Justeru, Arab Saudi pula mencari pendekatan lain dan melihat alternatif ekonomi yang dilakukan oleh Malaysia apabila berdepan kekurangan hasil dari industri minyak.
Model ekonomi negara ini cuba diteladani oleh Raja Salman Abdulaziz Al-Saud setelah baginda menaiki takhta pada 2015 susulan rekod Bank Dunia dan IMF memberi semakan menaik terhadap ekonomi Malaysia akhir-akhir ini.
Tiga kali ‘rating” Malaysia naik dan pendekatan ekonomi Malaysia diberi pujian oleh institusi antarabangsa lain. Bermakna, pendekatan ekonomi Malaysia adalah di landasan yang betul dan ia mahu diteladani oleh negara lain.
Arab Saudi tiru cara GST dan BR1M daripada Malaysia. UAE pula ikut cara Arab Saudi, sudah memperkenalkan GST mulai 1 Januari 2018. UAE malah menganggarkan akan mendapat hasil sejumlah AS$43.3 bilion menerusi GST.
Arab Saudi dan UAE bergantung 90% hasilnya kepada petroleum dan dengan ada GST. kebergantungan terhadap hasil minyak dapat diminimumkan. Beberapa negara juga mula lancar GST iaitu Bahrain, Kuwait, Oman dan Qatar.
Ada dengar berita di negara yang buat ini rakyat turun berdemonstrasi? Turun ke jalanan bantah dan minta agar GST dihapus? Tidak ada, kerana apa dibuat kerajaan di negara itu adalah untuk jamin pertumbuhan ekonomi.
Secara tidak langsung rakyat terus dapat jaminan peluang kerja. Apa guna ada petrol murah seperti Venezuela, tapi rakyat tidak ada pekerjaan? Itulah berlaku di Iran dan Mesir, orang turun ke jalanan apabila tiada pekerjaaan.
Orang sanggup bakar diri sendiri seperti di Tunisia apabila kerja tiada. Beza keadaan ekonomi negara bergolak ini dengan Malaysia. Maka, cubaan demonstrasi di Sogo pada malam tahun baru disambut sepi rakyat Malaysia.
Warga Malaysia dan pendatang asing tanpa izin yang gembira kerja di negara ini lebih suka layan percikan bunga api atau bersama keluarga pada malam tahun baru. Sanggup bersesak demi berhibur bersama rakan dan saudara.
Cuma pembangkang di Malaysia yang suka mengada-ngadakan cerita karut tentang ekonomi Malaysia. Dulu sudah beberapa kali mereka kata konon ekonomi Malaysia hendak muflis dan Malaysia bakal menjadi negara gagal.
Lucunya tidak menjadi juga tekaan jahat mereka itu. Kali ini, mereka cuba takutkan rakyat pula dengan buat cerita konon Malaysia akan tergadai hanya kerana ada projek mega Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).
Mereka cuba mengaitkan ECRL dengan pelaburan kerajaan China menerusi projek raksasa Hambantota di Sri Lanka. Walhal ia perbandingan yang jauh meleset sama sekali dan berbeza ekonomi Malaysia dengan Sri Lanka.
Kerajaan Sri Lanka terjerumus dalam perangkap hutang kerana sudah ada nisbah hutang berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setinggi 86.9%. Ini jauh beza hutang Malaysia hanya 50.7% sahaja daripada KDNK.
Lebih buruk lagi, 43% daripada hutang Sri Lanka didenominasikan dalam mata wang asing berbanding hanya 2.5% untuk Malaysia, bahkan 97.5% hutang kerajaan Malaysia berada dalam ringgit dan kerajaan mengawal ringgit.
Malaysia tidak akan menghadapi masalah yang sama seperti Sri Lanka. Rizab Sri Lanka juga rendah pada AS$5.12 bilion pada Mac 2017 berbanding rizab sebanyak AS$102.2 bilion yang kini dimiliki oleh Bank Negara Malaysia.
Sepert dinyatakan sebelum ini, kos projek ECRL sebanyak RM55 bilion itu tidak terlalu tinggi jika mengambil kira bayaran secara ansuran selama 20 tahun dan juga berdasarkan saiz ekonomi Malaysia ialah RM1.3 trilion sekarang.
Kalau ekonomi Malaysia jadi semacam Sri Lanka, buat apa negara negara seperti Arab Saudi dan India hendak tiru sistem ekonomi yang ada di Malaysia? Sudah tentu mereka tidak mahu ikut kalau ekonomi Malaysia teruk.
Buat apa Raja Arab Saudi sanggup datang untuk melabur RM31 billion, India pula tandatangan RM158 billion memorandum persefahaman dan China melabur RM144 billion dengan negara kita sepanjang tahun lepas sahaja?
Buat apa pula susah pembangkang hendak rampas Putrajaya kalau negara ini sudah tiada apa-apa dan muflis, Buat apa susah orang sudah berusia 93 tahun hendak jadi Perdana Menteri lagi kalau Malaysia sudah tiada apa-apa lagi.
Hakikatnya selama ini, semua tuduhan jahat pembangkang terhadap ekonomi negara adalah bersifat persepsi dan propaganda semata-mata. Di Malaysia, semua demonstrasi yang pembangkang buat sepanjang 2017 adalah gagal!
Malahan semua program ceramah yang pihak pembangkang anjur pun tidak ramai yang datang. Bayangkanlah pembangkang di Timur Tengah pun tidak mahu tiru demonstrasi ‘bodoh’ yang dibuat pembangkang di Malaysia.
Sebaliknya, apa yang berlaku kerajaan di negara-negara Asia Barat pula mahu tiru model ekonomi Malaysia kerana ia terbukti berada pada landasan betul di bawah pemerintahan UMNO-BN. - Kedahnews.com