Mohon Bantuan Rakyat Malaysia Kesan Kanak-Kanak Diculik


KUALA LUMPUR – Kedutaan Argentina di Malaysia memohon bantuan orang ramai untuk mengesan Alum Langone Avalos, 7, yang dilaporkan diculik sejak Jun 2017.

Kedutaan itu dalam satu kenyataan berkata, Alum dengan ketinggian 1.25 meter, berambut coklat gelap dan bermata hijau, kali terakhir dilihat di Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan menuju ke Kulai, Johor.

“Ibu bapa Alum, kedua-dua warga Argentina telah berpisah, dan ibunya Elisabeth diberikan hak penjagaan penuh. Ayahnya menculik Alum dari sekolahnya dan meningalkan Argentina secara haram.

“Kedutaan mengesahkan baru-baru ini, bapa kanak-kanak itu dilihat bersama dengan anaknya di beberapa lokasi berbeza di Malaysia,” menurut kenyataan tersebut.

Ibu Alum, Elisabeth Avalos meminta pihak media membantu dengan memberikan liputan terhadap kes anaknya agar anaknya, yang kini di Malaysia ditemui dan berharap segala kesengsaraan akibat terpisah dengan anaknya selama tujuh bulan akan berakhir.

“Pihak berkuasa Malaysia telah bekerjasama rapat dengan kami dan kami amat berharap Alum akan ditemui. Bagi mencapai matlamat itu, sebarang maklumat daripada orang ramai sangat dihargai”, kata Duta Besar Argentina ke Malaysia, Manuel Balaguer Salas.

Sesiapa yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Kedutaan Argentina di talian +6012-2012464. – Bernama