BALING - Muay Thai mempunyai keunikannya tersendiri yang menjadikannya sebagai salah satu seni mempertahankan diri digemari oleh masyarakat di seluruh dunia.
Berasal dari negara jiran, Thailand, seni yang digunakan sebagai salah satu teknik membela diri itu kini sememangnya terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu terutamanya di Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Begitu juga banyak kelab dan persatuan yang secara khususnya memberi latihan dan tunjuk ajar berkaitan seni Muay Thai seperti Burung Hantu Delay King Muay Club dari Kedah, Shark Hunter Muay dari Pulau Pinang termasuk kelab Muay Thai tempatan iaitu Kelab Tomoi Siong dan Kelab Tomoi Samboja.
Sebagai contoh, kegilaan peminat seni mempertahankan diri terhadap sukan itu ketara apabila Baling Ultimate Fighting Championship (BUFC) yang berlangsung di sini baru-baru ini, mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan di luar jangkaan daripada kelab berkenaan.
BUFC berlangsung selama tiga hari berturut-turut itu juga dihadiri hampir 30,000 pengunjung terdiri daripada penggemar sukan tersebut.
Dalam pertandingan itu, 70 peserta anak tempatan termasuk dari Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur, Melaka, Johor dan Thailand berkampung untuk pelbagai kategori yang dipertandingkan.
Pertandingan tersebut adalah untuk merebut kejuaraan Prestige BUFC Super Fight Title Belt Holder dan Prestige BUFC Super 4 Title Belt Holder dan seterusnya merebut kejuaraan Prestige Championship Belt.
Pengerusi BUFC, Mohd. Sahabudin Besher Mohamad berkata, sukan tersebut semakin menjadi kegilaan dalam kalangan remaja dan belia yang menggemari sukan bela diri yang ekstrem dan mencabar.
“Muay Thai akan memberi ketahanan fizikal di tahap maksimum dan pada masa sama melatih diri pemainnya untuk berfikir dengan baik hasil latihan yang disertai.
“Oleh itu, saya dan rakan-rakan cuba mengetengahkan seni Muay Thai ini dengan menganjurkan beberapa program dan pertunjukan antaranya BUFC ini dan tidak menyangka sama sekali ramai menyertainya,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Penutup BUFC di Baling, baru-baru ini.
Menurutnya, dalam pertandingan tersebut, pengamal Muay Thai bertarung dengan pelbagai aksi menarik dan unik dipamerkan sekali gus menarik perhatian pengunjung.
“Ketahanan fizikal yang mereka tunjukkan amat menakjubkan dan setiap pengamalnya mempunyai kemahiran dan latihan dalam tempoh lama untuk menguasai kemahiran seni ini,” katanya.
Mohd. Sahabudin berkata, Muay Thai memiliki variasi khas dan kaya dengan kaedah atau teknik pertarungan yang diamalkan sejak dahulu kala.
“Seni bela mempertahankan diri ini bukan pertarungan semata-mata, sebaliknya pengamal perlu memiliki keupayaan berfikir dengan pantas untuk mengatur pergerakan dan strategi bagi menumbangkan lawan,” katanya.
Katanya, Muay Thai adalah sukan yang sesuai bagi semua golongan khususnya remaja, meskipun ia menjadi antara seni bela diri tertua dunia tetapi sentiasa relevan dan seiring perubahan masa.
Sementara itu, Ahli Parlimen Baling yang turut hadir menyampaikan hadiah kepada pemenang, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, bakat pengamal Muay Thai perlu digilap dan tidak boleh disia-siakan begitu sahaja.
“Mereka ini adalah aset negara dalam sukan seni mempertahankan diri dan usaha utama yang perlu dilaksanakan ialah menggalakkan pembabitan remaja dengan Muay Thai di peringkat akar umbi.
“Usaha bersepadu perlu digerakkan oleh kelab Muay Thai di negara ini sekiranya sukan tempur yang berasal dari negara jiran itu ingin dimajukan,” katanya.
Untuk menjayakan BUFC itu, beliau turut menyumbangkan RM100,000 dan berkemungkinan besar akan dinaikkan sehingga RM200,000 untuk menyokong program tersebut diadakan lagi.
Abdul Azeez berkata, pihaknya juga berhasrat menjadikan daerah ini sebagai lokasi tumpuan utama sukan Muay Thai, tinju serta silat memandangkan sambutan yang amat memberangsangkan penduduk.
Pemenang Prestige Championship Belt, Razif Mohd. Yusof, 29, dari Kumpulan Kelab Tomoi Burung Hantu (Delay King) menyifatkan pertandingan itu memberi peluang kepadanya menguasai teknik dan membina ketangkasan dalam sukan Muay Thai.
“Meskipun pada awalnya berasa takut untuk beraksi kerana tidak mengenali lawan saya ketika itu, tetapi setelah mencuba sedaya upaya dengan menggunakan teknik yang dipelajari, akhirnya saya menjuarai perlawanan ini.
“Saya mengharapkan agar ada pihak tertentu yang mahu mempertahankan seni Muay Thai supaya ia tidak ditelan zaman dan dapat mengetengahkan pengamalnya hingga ke peringkat lebih tinggi lagi,” katanya.
Sumber: Utusan Online