Mufti Nasihat Mukhriz Suluh Keimanan Diri Sendiri Sebelum Persenda Orang Lain


Golongan mufti hari ini menasihat Pengerusi Pakatan Harapan Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir agar tidak terlalu riak dan dan sombong kerana memperlekeh soal ibadah orang, sebaliknya menyuluh diri sendiri terlebih dahulu.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata menasihatkan umat Islam agar sentiasa berpegang dengan ajaran Islam yang sentiasa merendah diri dan tidak berlebih-lebih serta tidak terlalu menilai orang lain sehingga diri sendiri terabai.

Beliau yang menyifatkan individu yang memperlekehkan soal ibadah orang lain sebagai seseorang yang riak dan sombong.

Katanya al-Quran tidak mendidik umat Islam mempersenda antara satu sama lain kerana yang dilekehkan itu selalunya lebih baik daripada yang memperlekehkannya

“Selalunya seseorang yang memperlekehkan orang lain, dia mempunyai sifat riak dan sombong kerana sering memandang kekurangan orang lain tanpa muhasabah diri sendiri," kata Mohamad Shukri.

 Beliau juga menasihat pemimpin politik diingat supaya tidak sesekali memperlekeh soal ibadah orang lain termasuk ‘seteru’ mereka kerana ia jelas bercanggah dengan ajaran Islam.

Sementara itu Mufti Pahang, Da­tuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman berkata, adalah tidak wajar soal ibadah seseorang dipersenda atas tujuan apa sekalipun.

“Rasulullah SAW mengajar kita supaya tidak memperlekehkan ibadah atau amal makruf sesama manusia kerana sangat bertentangan dengan hadis dan norma-norma masyarakat Islam.

“Sepatutnya sebagai umat Islam, kita harus mendoakan kebaikan saudara kita dan menyokong kebaikan yang dilakukan. Kenapa pula nak politikkan soal ibadah?,” katanya kepada sebuahmedia tempatan semalam.

Baru-baru ini Mukhriz yang juga Timbalan Presiden PPBM mempersoalkan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di hadapan Kaabah.

Memetik laporan sebuah portal propembangkang semalam, Mukhriz menyifatkan gambar Perdana Menteri memasuki dalam kaabah sebagai  satu propaganda untuk menunjukkan imej warak sedangkan hakikatnya Najib adalah pemimpin yang menyimpang dari landasan.

Sementara itu Abdul Rahman berkata, tindakan memperlekeh ibadah dan kebaikan yang dilakukan seseorang hanya sesuatu yang merugikan malah akan membawa perpecahan dalam kalangan umat Islam.

“Sikap umat Islam sebenar ialah sentiasa menasihatkan saudaranya ke arah kebaikan untuk mencapai kemajuan, jadi tindakan memperlekeh sebegini sebenarnya hanya membuang masa dan tidak mencerminkan masyarakat Islam yang bersatu.

“Selepas ini, jangan ada lagi mempertikaikan ibadah orang lain kerana itu adalah urusan Allah,” katanya.

Sebelum ini bapa Mukhriz, Tun Dr. Mahathir Mohamad memperlekehkan BR1M sebagai 'rasuah' selain mempersoalkan mereka yang menuaikan haji tajaan 1MDB sebagai 'diragui atau tidak mabrur.'

Malah lebih buruk, Dr Mahathir menuduh para mufti 'kafir' kerana tidak menyekat 'fatwa' pemimipin PAS yang didakwa oleh Mahathir sebagai punca berlakunya peristiwa Memali pada 1985. - Kedahnews.com